Menu


Azilah bertemu ‘VVIP’ di luar penjara -Shafee


Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melahirkan rasa hairan bagaimanakah seseorang yang sudah dijatuhkan hukuman gantung boleh diberikan akses untuk bertemu seorang individu ternama ‘VVIP’ di luar penjara Kajang.

Banduan yang dimaksudkan oleh Shafee adalah bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang menunggu hukuman gantung selepas didapati membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Shafee bagaimanapun berkata, maklumat itu tidak dapat disahkan olehnya sebaliknya dimaklumkan kepadanya oleh sumber yang boleh dipercayai.

“Pertemuan antara Azilah dan VVIP ini telah mengambil tempat pada awal Februari tahun ini. Bagaimanakah seorang banduan hukuman gantung boleh keluar dan bertemu VVIP ini di luar? Bagaimana ini berlaku?

“Tentunya saya tidak dapat sahkan maklumat ini tetapi pemberi maklumat yang boleh dipercayai. Pertemuan ini bukan dalam penjara sebaliknya luar penjara. Apabila seorang banduan yang sudah ditetapkan hukuman gantung, bagaimanakah dia boleh di bawa keluar begitu?

“Ini sudah melanggar undang-undang dan protokol. Saya sedang tunggu pengesahan rasmi ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini.


Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah hadir mendengar permohonan semakan semula sabitan hukuman mati kes berprofil tinggi yang membabitkan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Shafee hadir hari ini sebagai pencelah bagi permohonan yang telah dikemukakan oleh Azilah dalam kes yang membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azilah melalui peguam J Kuldeep Kumar telah memohon untuk mengetepikan hukuman gantung terhadapnya dan mahu kes berprofil tinggi itu di bicarakan semula.

Dalam pada itu, Shafee juga mendakwa ada beberapa individu termasuk ejen Malaysia serta wartawan Australia yang telah melawat seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar di pusat tahanan di Australia awal tahun ini.

Dakwa Shafee, kumpulan ini dipercayai cuba ‘memujuk’ Sirul supaya membuat kenyataan hampir serupa seperti Azilah terhadap Najib.

“Semua ini adalah plot terancang seseorang yang mahu mengenakan Najib sebenarnya.

“Saya juga tidak akan sesekali terkejut seandainya selepas ini Sirul pula bertindak seperti Azilah. Memang ada pihak termasuk ejen Malaysia dan wartawan Australia yang cuba memujuknya,” dakwanya. 




 
Top