Menu

MUHAMMED Yusoff Rawther selesai menjalani ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman, hari ini bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Peguam mewakili bekas penyelidik PKR itu, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, anak guamnya memberi keterangan bermula 4.30 petang dan selesai pada 8.30 malam.

Menurutnya, pihaknya amat berpuas hati dengan kelancaran ujian berkenaan yang dikendalikan oleh tiga pakar.

“Muhammed Yusoff hadir ke Bukit Aman kira-kira 3 petang tadi namun hanya mula menjalani ujian itu pada 4.30 petang berikutan pakar berkaitan memerlukan masa untuk membuat persiapan.

“Anak guan ditempatkan di sebuah bilik bersama tiga pakar manakala, saya berada di luar ketika ujian itu berlangsung,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Bukit Aman, malam ini.

Mohamed Haniff berkata, butiran lanjut termasuk jenis soalan dalam ujian itu tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan polis.

“Saya juga tidak pasti bila hasil ujian ini akan siap, mungkin esok atau lusa. Persoalan sama ada Muhammed Yusoff akan dipanggil lagi untuk ujian sama juga terserah kepada pasukan siasatan.

“Malah terpulang kepada pasukan siasatan dan Presiden PKR (Anwar) untuk menjalani ujian sama,” katanya.

Semalam, dilaporkan Muhammad Yusoff bersedia untuk menjalani ujian poligraf berhubung kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Sebelum ini, media melaporkan ujian poligraf antara pilihan yang dipertimbangkan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes berkenaan.




 
Top