Menu

IKLAN


PAN Terengganu berkata hasil kajian Merdeka Center yang menunjukkan kemerosotan kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran PH bukan sesuatu yang menghairankan jika mengambil kira “kerosakan” yang berlaku sebelum ini.
Pengerusinya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengingatkan bahawa PH baru mengambil alih kerajaan selama kira-kira setahun dari 60 tahun pentadbiran.
“Tidak hairan sekiranya data daripada kajian dilakukan pusat kajian itu menunjukkan penurunan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan PH.
“Bagi mencapai solusi jangka masa panjang ia perlu masa. Tempoh setahun tidak dapat untuk mengubati penyakit yang telah ditanggung selama 60 tahun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengambil contoh masalah dihadapi Tabung Haji antaranya sehingga defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017, yang menurutnya memerlukan masa yang panjang untuk dipulihkan semula.
Kajian terbaru Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan keyakinan pengundi terhadap pentadbiran PH dalam mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018.
Badan kaji selidik pendapat awam itu mendapati kadar puas hati terhadap PH dalam soal ekonomi hanya 40 peratus, berbanding 56 peratus pada Mei 2018.
Kadar tidak puas hati dalam soal ekonomi pula meningkat dari 12 peratus ke 52 peratus untuk tempoh sama. Kadar itu bagaimanapun baik sedikit berbanding keseluruhan penggal pentadbiran BN yang lalu.
Bagaimanapun jika kadar PH terus merosot ia akan meletakkan gabungan itu di tahap yang lebih kurang sama dengan BN.
Dalam kenyataan berasingan, mengulas isu sama, Naib Presiden PAN Mujahid Yusoff menyambut baik dapatan kajian itu.
Jelas Mujahid, kajian seumpamanya adalah perkara biasa dan perlu disambut dengan baik.
“Ia perlu dilihat secara positif. Bila mereka (Merdeka Center) kata turun, maka kita (PH) perlu kerja dengan lebih keras,” katanya.
-kulihatlangitbiru


 
Top