Menu


KUALA LUMPUR, 27 April- Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Md Yassin melihat langkah parti yang merancang untuk melakukan beberapa pindaan Perlembagaan UMNO bakal mengukuhkan lagi parti ke tahap yang terbaik khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurut beliau dengan kedudukan semasa UMNO yang hari ini bukan lagi menjadi kerajaan, tentunya pindaan perlembagaan itu sedikit sebanyak dapat melonjakkan lagi imej parti serta memberi kelebihan yang tersendiri untuk UMNO terus mengorak langkah ke depan.
“Pindaan perlembagaan ini dapat menarik serta memulihkan kembali imej UMNO dan ini dapat meminda beberapa perkara. Pindaan tentunya melibatkan soal keahlian dan perkara lain yang akan dibuat selari dengan kedudukan UMNO yang tidak lagi menjadi sebahagian kerajaan persekutuan dan kita haruslah ‘work hard but smart’.

“Bercakap soal keahlian sebagai contoh… pendaftaran sekarang ahli terus di cawangan-cawangan, di kampung atau lokasi kediaman masing-masing tanpa ada tapisan dan sekatan, ini semua memudahkan untuk menjadi ahli UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.
Shamsiah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau seterusnya menambah kuasa autonomi penuh yang diberikan untuk UMNO Sabah adalah demi perkembangan politik semasa di negeri berkenaan dan ianya adalah satu langkah yang bertepatan.
“Saya setuju kùasa autonomi diberi kepada UMNO Sabah sesuai dengan situasi politik sekarang dan membuat keputusan tanpa merujuk kepada UMNO Pusat,” ujarnya.
Isnin lalu, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13–16 Nov depan dengan satu hari akan diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM) untuk membolehkan Perlembagaan parti dipinda yang antaranya akan melibatkan keahlian parti dan juga memberi kuasa autonomi kepada UMNO Sabah – MediaUMNO


 
Top