Menu

KUALA LUMPUR, 19 April – Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjenamakan semula program dan inisiatif ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), sebelum ini dilihat sebagai perubahan kosmetik semata-mata selain turut melakukan pembaziran yang mungkin menelan perbelanjaan yang cukup besar.
Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata beberapa hari ini heboh di media apabila Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) melakukan ‘re-branding, re-naming’ dan segala ‘re…’ lagi terhadap pencapaian dan pembangunan yang telah dibuat oleh BN selama 61 tahun ini.
“Sebagai contoh program PERMATA yang dibangunkan oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditukar nama kepada Genius. Rasanya elok sahaja kita mengagungkan bahasa kita daripada menaikkan nama Genius yang jelas kebaratan.
“Satu lagi ‘re-branding’ yang disebut-sebut adalah Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ingin ditukar menjadi Sepang International Airport (SIA). Pelik Bin Ajaib, adakah dengan menukar nama boleh mengubah sejarah dan pencapaian sesuatu negara kita. Amat menyedihkan.
“Malah jika diperhalusi, bukankah ianya menelan kos dan melibatkan wang rakyat yang mana apabila diubah sesuatu perkara itu, semestinya segala-galanya yang lain turut berubah. Bukankah itu akan melibatkan soal kewangan.

“Satu lagi secara umumnya, apa yang diubah hari ini bukanlah secara menyeluruh bahkan ada sesetangah perkara atau pun inisiatif yang ditukar itu sekadar penjenamaan semula semata-mata. Seharusnya mereka perlu memberikan penjelasan menyeluruh kenapa ianya perlu ditukar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya melontarkan analogi kepada tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH hari ini.
“Sebagai contoh jika sesebuah sekolah pencapaian pelajarnya teruk, adakah dengan menukar nama sekolah akan menjadikan sekolah tersebut berjaya. Jawapannya, yang perlu ditukar adalah guru-gurunya bukan nama sekolah.
“Lebih menyedihkan, pasaran saham kita yang berada dalam keadaan tidak meyakinkan tapi tiada pula Kementerian Kewangan hendak menukar nama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) kepada Bursa Saham Malaysia… kerana keadaan saham menggambarkan situasi ekonomi negara.
“Justeru kepada rakyat negara ini, inilah bahana memilih kerana emosi dan persepsi, satu pun tidak menjadi. Pelbagai golongan rakyat semakin resah, pelabur juga memandang dengan penuh kritikal situasi BSKL, pelaburan luar entah ada entahkan tidak. Mari kita doakan Malaysia terus maju,” tambahnya lagi. – MediaUMNO


 
Top