Menu


KUALA LUMPUR, 25 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata kelancaran mesyuarat cawangan-cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang membuktikan akar umbi masih kukuh dan utuh.
Sehubungan itu, beliau penuh yakin dan percaya UMNO walaupun hari ini statusnya pembangkang, ianya bukan satu halangan yang menyebabkan parti tidak mampu untuk bergerak sebaliknya menjadi bukti bahawa pentadbiran parti terus berjalan lancar dengan baik.
“Pada saat ini cawangan-cawangan UMNO di Shah Alam sedang rancak mengadakan mesyuarat tahunan. Keadaan ini membuktikan sistem pentadbiran parti terus berjalan lancar walaupun kita adalah parti pembangkang di negara ini.
“Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman kita perlu pantas menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Sikap tidak mudah melatah dan mengeluarkan kenyataan yang memberi imej buruk kepada parti harus diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dilaporkan, mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut,
Dalam masa yang sama, Azhari berkata hari ini rakyat Malaysia sedang membuat penilaian terhadap prestasi setahun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan terperinci dan satu perkataan yang dapat disimpulkan iaitu ‘gagal’.
“Masalah seperti bekalan air misalnya masih menyusahkan rakyat di Selangor. Sepatutnya masalah air ini sudah lama selesai, namun oleh kerana ada yang suka berpolitik hingga wujud ‘Langkah Kajang’ maka hari ini rakyat menanggung segala kepayahan.”
Tambahnya lagi Menteri Besar Selangor sudah masuk tiga orang di bawah Pakatan Rakyat tetapi masalah air semakin membelenggu.
“Hari ini ada penyokong PH yang sudah terasa bahana disebabkan pilihan mereka. Hadap sajalah …. Kepada rakyat, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sudah melakukan yang terbaik tetapi segala jasa tenggelam dek kerana termakan dakyah negara bakal muflis.
“Kembalikan kuasa kepada BN apabila sampai masanya. Pengalaman lebih berharga daripada pengharapan. Benda boleh ubah buat apa pilih untuk rebah,” tegasnya lagi. – MediaUMNO


 
Top