Menu

Kenaikan harga Kentucky Fried Chicken (KFC) mungkin boleh ‘diatasi’ sekiranya kerajaan negeri Johor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah mengarahkan syarikat makanan segera itu menurunkan kembali harga menu mereka.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ini kerana KFC di Malaysia dimiliki oleh Perbadanan Johor (Johor Corp) iaitu syarikat kerajaan negeri Johor sejak Januari 2013.

“Tidak ada alasan bagi kerajaan Johor PH untuk tidak mengarahkan KFC supaya menurunkan semula harga mereka yang telah naik dengan tinggi baru-baru ini.

“Melainkan kos untuk KFC benar-benar sudah naik dengan tinggi selepas SST ganti GST.

“Tetapi jika mereka mengaku kos memang sudah meningkat dengan banyak, maka ini satu penghinaan kepada Guan Eng dan Tony Pua.

“Mereka berdua ini telah berulangkali memberi jaminan bahawa SST akan meringankan beban rakyat dan harga barang akan turun dengan SST,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Syarikat makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) pada Rabu lalu mengumumkan bahawa harga makanan yang disenaraikan adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST), bermula Disember 2018.

Dalam kenyataan itu KFC menjelaskan bahawa terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Kenyataan itu menyusul selepas tular di laman-laman sosial Facebook mengenai kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Justeru Najib mempersoalkan sama ada kerajaan PH Johor akan mengurangkan harga KFC dengan menyerap kos yang naik, ataupun memohon maaf kepada rakyat dan mengakui bahawa GST bukanlah sebab utama harga barang naik.

“Apakah langkah yang kerajaan Johor PH akan ambil sekarang?

“Adakah Harga KFC akan dikurangkan dengan menelan kos yang sudah naik?

“Ataupun PH akan meminta maaf kepada rakyat kerana telah menipu dan mengaku bahawa kos sara hidup sudah naik dengan tinggi selepas PRU14 dan GST bukan sebab utama harga barang naik?,” soal beliau. -SuaraTv


 
Top