Menu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera

Salam 1Malaysia

Salam Transformasi Terengganu Baharu

Salam #Sehatisejiwa

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya, kita dapat sama-sama hadir sempena Majlis Perasmian Pesona Terengganu 2015.

Yang Berhormat Dato’,tuan-tuan dan puan-puan,

Sebenarnya Dataran Merdeka ini adalah satu tempat yang sangat bersejarah lagi ikonik. Ini adalah tempat rakyat melahirkan rasa syukur dan bangga menjadi seorang warganegara Malaysia. Ini adalah tempat kita sama – sama berperanan dalam membina negara bangsa. Ini adalah tempat kita menjalankan aktiviti ekonomi, sosial dan kebudayaan demi kemajuan agama, rakyat dan Negara.

Dataran Merdeka bukan tempat kita berdemonstrasi dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan. Dataran Merdeka bukan tempat kita memijak gambar mana- mana pemimpin negara akibat rasa benci yang keterlaluan.

Kalau nak berdemonstrasi dan meluahkan perasaan, stadium banyak di sini dan sana. Kalau nak cuba jatuhkan kerajaan, kita bertarung di pilihanraya.

Pesona Terengganu adalah salah satu dari pelbagai pengisian baik yang boleh kita anjurkan di Dataran Merdeka.

Pesona Terengganu ialah platform untuk kita mempromosi Negeri Terengganu. Ianya sebahagian dari kempen Tahun Melawat Terengganu 2017.

Pesona Terengganu ialah wadah berkongsi cerita – cerita kejayaan (success story atau quick wins) tentang rakyat dan Negeri Terengganu. Cerita – cerita kejayaan ini memberi inspirasi bahawa kita boleh menzahirkan potensi, sekiranya kita berani mencabar kelaziman.

Kita boleh bertanding di peringkat antarabangsa, apatah lagi bersaing di peringkat kebangsaan.

Cerita – cerita kejayaan ini turut memberi keyakinan kepada kita semua bahawa sesungguhnya, kita memang boleh berjaya. Bahawa kita boleh cipta kegemilangan. Bahawa kita di landasan yang betul. Bahawa kita sayang Negeri Terengganu kita.

Pesona Terengganu, melalui pameran kepenggunaan, turut memberi peluang kepada rakyat untuk berniaga dan mencari keuntungan. Insya Allah, yang mendapat faedah langsung ialah rakyat jelata. Ini adalah cara kita melaksanakan sesuatu untuk kebaikan rakyat, agar mereka makmur dan sejahtera.

Pesona Terengganu ialah kisah kebitaraan Terengganu untuk dikongsi seluruh dunia. Semoga semua yang mengunjunginya akan terpesona.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Negeri Terengganu kini dilihat berpotensi besar untuk berkembang menjadi salah sebuah hub pelancangon di Malaysia. Pada tahun 2014, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM4.52 billion kepada KDNK negeri dengan pengunjung seramai 4.517 juta.

Dengan keindahan alam yang dimiliki serta adat warisan yang diwarisi, kerajaan negeri akan terus berusaha mempromosi Terengganu melalui penganjuran Tahun Melawat Terengganu pada tahun 2017. Kerajaan Negeri sangat bersungguh dalam menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong ke Terengganu, sekaligus merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Pelbagai pengisian disediakan menerusi lapan segmen yang ditampilkan iaitu Pertama, Transformasi Terengganu Baharu; Kedua, Keusahawanan; Ketiga, Pelancongan; Keempat, Pendidikan & Sains; Kelima, Ekonomi & Pelaburan; Keenam, Kebudayaan & Kesenian; Ketujuh, Pertanian; serta Kelapan, Sumber Manusia & Sukan. Setiap segmen akan memaparkan pencapaian, tarikan atau cerita – cerita kejayaan (success story) tentang Terengganu dalam pelbagai bidang.

Saya ingin menjemput seluruh warga di Lembah Kelang, malah seluruh warga Malaysia untuk datang berkunjung ke Pesona Terengganu. Rasai sendiri pengalaman suatu program yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Kita bawakan Terengganu ke ibukota, ke persada negara malah ke pentas dunia.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih, kepada YB Dato’ Haji Mohd Jidin bin Shafee selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu dan YB Dato’ Haji Osman bin Muda, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesona Terengganu, serta seluruh warga kerja yang begitu kuat berusaha lagi gigih membuat persiapan, sehingga apa yang diimpikan kini menjadi kenyataan.

Dari Besut hinggalah Kemaman

Kuala Nerus singgah bertamu

Berani kita mencabar kelaziman

Sehati Sejiwa Sayangi Terengganu

Dengan lafaz suci Bismilla hirrahma nirrahim, saya merasmikan Pesona Terengganu 2015.

Wabillahi taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum w.b.t.














 
Top