Menu

Demi UMNO, Bercutilah Tan Sri Muhyiddin Yassin

Assalamualaikum Tan Sri,

1. Ini kali kedua saya menulis kepada Tan Sri menggunakan ruang mykmu.net ini. Semoga ia dapat sampai kepada Tan Sri seperti mana tulisan pertama.

2. Pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, bahawa tujuh (7) orang disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO menunjukkan krisis kepimpinan parti sudah sampai ke tahap yang serius dan bukan lagi sebahagian daripada acara dan ritual demokratik parti.

3. Saya percaya nama Tan Sri adalah antara yang sedang disiasat oleh Badan Disiplin UMNO ini. Tindak-tanduk Tan Sri sejak digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Tan Sri tidak lagi boleh bekerjasama dengan Presiden UMNO.

4. Apabila digugurkan dari kabinet, Tan Sri telah bertemu dengan Tan Sri Kadri Sheikh Fadzir dan memburukkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Adalah tidak masuk akal untuk seorang Timbalan Presiden UMNO bertemu dengan Presiden parti BUKAN komponen Barisan Nasional dan menceritakan hal dalam kelambu parti.

5. Mungkin ketika itu Tan Sri marah dan kecewa kerana digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Maka Ahli UMNO dan pucuk pimpinan parti memejamkan mata dan memaafkan Tan Sri.

6. Namun tindak-tanduk Tan Sri sejak kebelakangan ini mengadakan wawancara dan menghadiri forum memburukkan Presiden parti adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan melanggar disiplin sebagai seorang Timbalan Presiden UMNO.

7. Dalam Perlembagaan UMNO, Fasal 9.8.2 menyatakan tugas Timbalan Presiden ialah (1) Membantu tugas-tugas Presiden; (2) mempengerusikan sidang-sidang Majlis Teringgi semasa ketiadaan Presiden.

8. Justeru kenyataan dan tindakan Tan Sri secara berterusan menyerang Presiden di luar Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO merupakan satu pelanggaran disiplin parti yang sangat jelas. Tan Sri bukan sahaja tidak mematuhi Perlembagaan agar membantu Presiden tetapi telah berusaha memburukkan Presiden di luar ruang demokrasi parti.

9. Tindakan Tan Sri ini bukan sahaja melanggar Perlembagaan UMNO malah mencemarkan jawatan Timbalan Presiden UMNO serta disiplin ahli sendiri.

10. Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO mengingatkan Semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan:- (a) Patuh kepada Perlembagaan ini dan Tataetika Ahli; (b) Mengikut perintah-perintah parti;(c) Menjalankan dasar-dasar parti; (d) Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti;(e) Menjaga rahsia-rahsia parti; (f) Memelihara nama baik dan maruah parti;(g) Senantiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib

11. Tan Sri melanggar hampir semua peruntukan dalam fasal ini. Tan Sri bukan sahaja tidak mengikut arahan Majlis Tertinggi UMNO dan kabinet agar isu 1MDB diselesaikan oleh Perdana Menteri, malah melanggar perkara (c) dan (d) apabila bercakap isu-isu 1MDB dan derma ke akaun peribadi Perdana Menteri di luar skop parti.

12. Lebih serius Tan Sri melanggar peruntukan (e) apabila mendedahkan percakapan dengan Presiden parti kepada Kadir Sheikh Fadzir yang pada pada masa itu merupakan Presiden parti politik di luar komponen Barisan Nasional.

13. Sebagai Timbalan Presiden, Tan Sri juga tidak lagi menunjukkan perilaku dan tataetika yang sesuai dalam menjaga maruah parti.

14. UMNO sebagai parti politik tidak boleh menghalang ruang demokrasi di kalangan ahli. Namun sebagai parti politik juga, UMNO mempunyai disiplin dan tataetika ahli dan pemegang jawatan bagi memastikan parti terus stabil.

15. Dalam keadaan UMNO bakal berhadapan pilihan raya terlebih dahulu sebelum Pemilihan dalaman, parti tidak boleh mempunyai dua nahkoda dalam satu kapal. Presiden memerlukan Timbalan Presiden yang boleh dipercayai untuk mengetuai jentera pilihan raya dan menguruskan parti. Tiada presiden yang gila akan membenarkan seorang timbalan menguruskan parti dan jentera pilihan raya, yang dalam masa yang sama menyerang beliau.

16. Tan Sri mungkin akan meminta diadakan pemilihan UMNO terlebih dahulu. Namun elok diingatkan bahawa Tan Sri antara orang yang bersetuju dengan penangguhan pemilihan UMNO ini. Hanya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Ahli MKT yang dilantik) sahaja tidak bersetuju penangguhan tersebut. Justeru tidak wajar Tan Sri mahu menarik balik persetujuan ini apabila ia tidak menguntungkan Tan Sri.

16. Dalam keadaan sekarang saya fikir UMNO tiada pilihan kecuali memecat Tan Sri daripada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional kerana ia merupakan langkah terbaik berhadapan pilihan raya Umum yang tidak sampai 1000 hari lagi.

17. Namun sedikit sebanyak, pemecatan Tan Sri akan menjejaskan parti itu sendiri. Sungguhpun Tan Sri sendiri tidaklah mempunyai pasukan yang kuat, terima kasih kerana sikap kurang mesra Tan Sri sendiri dengan rakyat, tapi penyokong Tan Sri, kerabat Istana tertentu dan segelintir ahli politik UMNO, yang penting diri boleh menyusahkan parti dan Presiden.

18. Justeru demi kelangsungan (survival) parti UMNO ini, saya merayu agar Tan Sri mengambil cuti sebagai Timbalan Presiden UMNO sehingga lepas Pilihan Raya Umum ke-14.

19. Percutian ini bukan sahaja membolehkan UMNO membuat persediaan lebih tersusun untuk pilihan raya Umum, malah menguntungkan Tan Sri dalam jangkamasa panjang. Tan Sri masih Timbalan Presiden UMNO apabila menamatkan cuti sebaik tamat pilihan raya umum.

20. Ingatlah, Tan Sri bukan seorang pejuang seperti Anwar Ibrahim atau strategis seperti Musa Hitam, justeru peluang Tan Sri untuk bertanding sebagai Presiden UMNO lebih besar sekiranya bercuti berbanding dipecat dari jawatan. Percayalah jika Tan Sri dipecat dari jawatan Timbalan Presiden, nama Tan Sri sendiri akan pudar dalam masa tidak sampai setahun.

21. Malah lebih serius Tan Sri mungkin berhadapn dengan isu-isu seperti Bestari Net dan NFC yang semua orang percaya ada tangan Tan Sri.

22. Cukuplah Tan Sri, beri ruang kepada Presiden mengukuhkan parti. Sekiranya beliau gagal mencapai prestasi lebih baik dari PRU 13, dengan sendiri beliau akan pergi dan peluang Tan Sri mengambil alih tanggungjawab jika Tan Sri masih Timbalan Presiden ketika itu.- Amin Yatim (MYKMU.NET)


 
Top