Menu

Menantu Hadi Awang, Zaharudin Muhammad mendakwa bekas exco Kelantan Datuk Husam Musa cuba menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan seperti yang pernah dibuat oleh Phahrolrazi terhadap PAS Kedah.

Beliau menjadikan laman sosial sebagai medan perang terbuka terhadap Husam berkenaan isu pembalakan di Kelantan.

“Demi Allah! saya akan lawan Husam selepas ini demi selamatkan Kelantan. Cukup saya melihat Kedah dijatuhkan oleh puak-puak Phahrolrazi dengan fitnahnya.

“Saya menyeru rakyat Kelantan bersama-sama mempertahankan Kelantan,” tulisnya.

Husam yang juga adalah ADUN Salor mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Namun kenyataan menantu Hadi Awang disanggah keras oleh Datuk Phahrolrazi Zawawi. Dengan sinis Phahrolrazi mengatakan bahawa menantu Hadi itu bukannya orang Kedah dan tidak begitu memahami senario PAS Kedah.

“Saya tidak boleh nak komen bagaimana dia kata cara itu sama, jadi Zaharudin kena terangkan sikit. Adakah maksud dia kata Datuk Husam itu mendedahkan, mengkritik sesuatu benda yang agak spesifik.

“Saya tarik diri daripada kerajaan kerana berbeza pendapat, Datuk Husam tak sama dengan saya. Datuk Husam tidak ada tarik diri semasa exco tapi saya tarik diri. Jadi macamana dia nak kaitkan sama.

“Bila saya tidak mahu dilantik semula, itu yang dianggap satu krisis, ketika itu saya tidak berapa setuju dengan pemerintahan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak,” katanya lagi.

Sebelum kejatuhan PAS di Kedah, Phahrolrazi yang ketika itu merupakan timbalan pesuruhjaya PAS negeri, telah membidas pentadbiran Azizan.

Penyokong Azizan mendakwa ia sebagai komplot Pharolrazi untuk mengguling menteri besar.

Hari ini di negeri Kelantan pula, Husam lantang mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri itu yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Malah Husam yang juga ADUN Salor menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.

Zaharudin turut menjemput Husam untuk berdebat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) berkaitan perkara itu bulan depan.

Justeru, Phahlolrazi berkata, beliau sudi menjawab dakwaan yang dikemukakan oleh Zaharudin sekiranya turut dijemput dalam debat berkenaan.

“Saya tidak cadang untuk jawab dakwaan Zaharudin sekarang tapi kalau ada yang berbangkit mengenai Kedah, saya sedia hadir menjawab.

“Saya dengar-dengar ada satu debat Zaharudin dengan Datuk Husam, jadi kalau berbangkit perkara ini, saya akan jawab secara spesifik kerana apa yang ditulis oleh Zaharudin terlalu umum,” katanya.


 
Top