Menu

Sudah dicanang di alam maya katanya akan ada demostrasi besar-besaran pengguna rokok elektronik atau penghisap Vape pada 4hb Nov di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

Menjadi persoalannya siapakah penganjur demo ini yang dijangka bakal dihadiri oleh 200 ribu peserta dari seluruh negara untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan yang sedang mengkaji cadangan pengharaman vape.

Sehingga kini tiada pihak mengaku menganjurkan acara tersebut. Malah persatuan perokok elektronik juga tidak tahu menahu rancangan itu.

Presiden Persatuan Vaporizr Elektronik dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA) Allan Foo juga berkata, semakan mereka dengan sebuah lagi persatuan juga mendapat jawapan sama.

Hanya dua persatuan perokok vapor berdaftar di Malaysia iaitu MEVTA dan Organisasi Rokok Elektronik Entiti Malaysia (MOVE).

“Semua orang tidak tahu siapa yang anjurkan,” katanya yang turut menerima maklumat yang disebarkan itu.

Sementara itu, rancangan itu tersebar dalam pesanan WhatsApp yang tersebar sejak malam tadi.

Bertemakan pakaian hitam, peserta diminta berkumpul di Padang Ragbi bersebelahan Pusat Membeli Belah Alamanda Putrajaya.

“Sila sebarkan mesej ini demi masa depan 'vapescene' di Malaysia. Semoga himpunan aman ini berjalan lancar,” menurut pesanan itu.


 
Top