Ketika ini, kediaman Allahyarham di Kampung Batu Muda di sini, dipenuhi dengan kehadiran orang ramai yang mahu menziarahi jenazah.
Menurut anak sulung kepada Allahyarham, Mohamad Yusri, 45, jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda selepas solat Zohor untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
“Atas permintaan saudara di Perlis yang mahu menziarahi Allahyarham, kami sepakat untuk mengebumikan jenazah selepas solat Asar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Antara mereka yang dilihat hadir ke rumah arwah sejak pagi tadi ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.
Allahyarham Abu Hassan, 72, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersiap selepas menunaikan solat Subuh sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi tadi.
Abu Hassan merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Allahyarham Ishak Din. Kedua-dua abangnya kembali ke rahmatullah pada 2016.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis sebelum ke Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah lalu melanjutkan pelajaran di Mesir.
Selain pernah menjadi Penasihat Agama Istana Negara, Allahyarham turut berpengalaman berkhidmat di Masjid Negara dengan jawatan tertingginya sebagai Imam Besar.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin dan tujuh orang anak serta 13 cucu. - UTUSAN ONLINE