.... Usah meroyan pasal ekonomi kalau... | AAKJ



Saban tahun, umat Islam berkemampuan dari segi ekonomi akan memilih hotel yang menawarkan pelbagai juadah istimewa secara bufet sebagai destinasi untuk berbuka puasa.
Namun, berbeza pula bagi aktres Maya Karin yang menganggap senario itu sebagai suatu pembaziran terutama apabila ada pihak hotel mengenakan bayaran caj sekepala dikatakan sampai tidak masuk akal.
Perasaan geram Maya terus membuak-buak kerana meskipun pakej ditawarkan agak mahal, masih terdapat banyak pihak yang bersedia untuk berbelanja dan berbuka puasa di hotel.
“Saya amat marah dengan harga melampau untuk bufet Ramadan! Terdapat individu mahupun syarikat rela membayarnya. (RM) 150 hingga 200 untuk dewasa,” katanya.
Maya meluahkan kenyataan itu di Instagram sambil mengiringi status dimuat naik dengan tanda pagar seperti #foodwaste (pembaziran) dan #exploitation (eksploitasi).
Mengulas soal pembaziran pula, Maya, 39, menjelaskan dia sebenarnya kurang memahami mengapa terdapat segelintir umat Islam gagal mempraktikkan kesederhanaan sewaktu berbuka puasa.
“Di mana nilai kesederhanaan? Saya tak faham,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.
Tak layak pertikai
Untuk rekod, Maya berkata, senario harga melampau dikenakan pihak hotel itu sudah dikenal pasti olehnya kira-kira 5, 6 tahun lepas.
“Cuma baru sekarang saya berani keluarkan kenyataan sebegini. Sengaja saya buat carian di Google, tapi amat terkejut dengan apa yang diperoleh,” katanya.
Pada masa sama, amalan terlalu banyak makan pada satu-satu masa boleh menyebabkan tahap kesihatan seseorang terjejas, kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke itu.
“Jangan kerana puasa seharian, individu itu berasakan dia berhak makan sebanyak mungkin. Makan banyak darah tinggi naik, seterusnya datang pula pelbagai penyakit,” katanya.
Rungutan pelakon Munafik 2 itu di media sosial turut mengambil kira caj sekepala melampau dibebankan ke atas ibu bapa yang mempunyai anak.

“(RM) 80 hingga 100 untuk kanak-kanak. Kanak-kanak! Apa yang mereka makan? Nasi sikit, ayam sikit atau spaghetti sikit,” katanya sambil menegaskan tidak lagi akan berbuka puasa di mana-mana hotel selepas ini.
Dia - yang juga terkenal melalui filem Pontianak Harum Sundal Malam - secara sinis mengingatkan sesiapa yang gemar berbuka puasa di hotel sebenarnya tidak layak mempertikai perkembangan ekonomi negara.
“Siapa makan kat sana jangan meroyan pasal ekonomi,” katanya yang tidak kisah sekiranya pandangannya itu tidak dipersetujui banyak pihak.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top