Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, pihaknya memutuskan untuk tidak mewajibkan operasi premis terbabit dihentikan seketika dalam tempoh tersebut, namun pengusaha digalakkan berbuat demikian secara sukarela.
Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan surat baharu yang berbentuk notis ‘galakan’ kepada peniaga supaya menutup premis masing-masing dalam tempoh satu setengah jam itu bagi menghormati waktu solat.
“Exco sudah jawab sebelum ini, abaikan (surat) yang sebelum pada itu dan rujuk surat terbaharu dikeluarkan oleh pihak PBT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Tuan Zainal Abidin Tuan Yus.
Isnin lalu, surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mengarahkan premis makanan ditutup bermula dari pukul 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan tular di media sosial.
Peraturan baharu itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang meminta Kerajaan Pas Kelantan menarik balik arahan dan membenarkan premis-premis makanan beroperasi seperti biasa.
Sehari selepas itu, Dr. Izani dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa para peniaga hanya digalakkkan menutup sementara operasi premis dalam tempoh berkenaan, bukan diarahkan atau diwajibkan berbuat demikian.
Perubahan daripada ‘arahan kepada galakan’ itu menyebabkan orang ramai terutama para pengusaha premis makanan keliru dan mereka menggesa kerajaan negeri segera mengeluarkan arahan yang lebih jelas dan muktamad.
Lebih mengelirukan apabila Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula menjelaskan peraturan tersebut setakat ini hanya di peringkat pentadbiran dan masih memerlukan kajian mendalam sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.
Sementara itu, Tuan Zainal Abidin memberitahu, MPKB-BRI telah mengedarkan notis baharu meminta kerjasama pengusaha premis makanan berhampiran masjid menghentikan sementara operasi bermula pukul 8.30 hingga 10 malam, sejak semalam.
Katanya, notis itu bukan berbentuk arahan atau paksaan, sebaliknya ‘meminta kerjasama’ para peniaga terbabit supaya berbuat demikian.
“Setakat ini kita hanya edarkan notis kepada kedai berhampiran masjid sahaja kerana kita tidak mahu keadaan riuh-rendah,” katanya. - UTUSAN ONLINE