.... Tommy Thomas Perlu Letak Jawatan Atau Dipecat | AAKJ



KUALA LUMPUR 9 Mei – Sudah tiba masanya Tommy Thomas meletak jawatan atau dipecat sebagai Peguam Negara kerana banyak melakukan kesilapan yang memalukan serta membebankan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesilapan terbaharu dilakukan Tommy adalah membabitkan yuran guaman sebanyak RM2 juta bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity.
“Kos guaman RM2 juta ini dianggap terlalu tinggi lebih-lebih lagi keputusan kes ini adalah secara penghakiman mungkar (default judgment) iaitu tiada sebarang perbicaraan.
“Kos yang terlampau tinggi itu bertentangan dengan penjelasan Tommy sebelum ini iaitu tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada kerajaan atau pro bono, susulan pelantikan peguam luar, peguam Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tegas Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, ramai yang telah mempersoalkan tindakan Tommy melantik peguam luar bagi mengendalikan kes kapal mewah tersebut termasuk mempertikaikan kemampuannya sebagai Peguam Negara dan barisan peguam di Jabatan Peguam Negara.
Kata beliau, sepatutnya Tommy mendapatkan nasihat atau pandangan perundangan daripada peguam-peguam pakar jika tidak yakin dengan kemampuannya untuk mengendalikan kes-kes jenayah.

“Beliau tidak mampu mengendalikan kes untuk mewakili kerajaan kerana bukan kes ini (Equanimity) sahaja tetapi kes-kes jenayah lain seperti kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melantik peguam luar untuk mengendalikannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kegagalan Tommy untuk memainkan peranan sebagai penasihat kepada Kerajaan Persekutuan juga terbukti apabila beliau mengakui Peguam Negara hanya menerima arahan daripada kerajaan.
Jelasnya, hal tersebut adalah bertentangan dengan prinsip dan tanggungjawab Peguam Negara dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Ramai mempersoalkan apakah tindakan Tommy menarik balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini kerana menerima arahan dari kerajaan?
“Peguam Negara mesti menjelaskannya kepada rakyat,” katanya.
Kelmarin, Tommy dalam kenyataan berkata, sebanyak RM2 juta dibelanjakan untuk yuran guaman bagi Tetuan Joseph & Partners selaku peguam cara yang mewakili kerajaan Malaysia dan kumpulan syarikat 1MDB, yuran kaunsel bagi Ong Chee Kwan dan nasihat guaman asing Tetuan Holman Fenwick Willan berhubung proses untuk menyahdaftarkan dan mendaftarkan semula kapal di beberapa pilihan negara ‘red ensign’. – UTUSAN ONLINE

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top