Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, salah sebuah kilang telah dihentikan operasi sejak 10 bulan lalu setelah diberi notis untuk berbuat demikian.
Ujarnya, sebuah kilang besi yang dalam pembinaan di Kampung Sungai Dua, Gemas di sini dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kelmarin, kerana tiada lesen dan pembinaannya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Sebuah lagi kilang yang beroperasi bagi pembakaran tayar terpakai di Kampung Gelugor Tenai, Gemas telah ditahan operasinya di bawah seksyen yang sama dan kita akan memohon perintah larangan dalam masa terdekat.
“Kilang itu didirikan di atas tanah kerajaan. Pengilang telah dipanggil tetapi gagal untuk hadirkan diri. Tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Veerapan berkata, kilang pembakaran tayar itu didapati beroperasi sejak tiga tahun lalu dan pihak Majlis Daerah Tampin pernah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah kerana melanggar syarat.
Beliau berkata, tindakan tersebut merupakan usaha kerajaan negeri dalam membuat pemutihan terhadap kilang-kilang haram di negeri ini. - UTUSAN ONLINE