Pelantikan itu sekali gus mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara.
Pelantikan tersebut menamatkan teka-teki siapa bakal mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara itu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, pelantikanTengku Maimun bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
“Sehubungan ini, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Yang Arif Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, “ jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Richard atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara. - UTUSAN ONLINE