Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, rakyat sehingga kini terus menunggu dan menagih janji-janji itu khususnya berkenaan dengan pengurangan kos sara hidup yang mana dilihat lebih membebankan ketika ini.
Tambahnya, rakyat juga mempersoalkan mengapa harga barang dan perkhidmatan tidak berkurang malah ada yang lebih mahal di sebalik janji Kerajaan PH menyelesaikan isu itu dengan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Turut dipertikai rakyat, jelas beliau, adalah janji untuk menghapuskan tol di seluruh negara yang bukan sahaja gagal ditunaikan selepas setahun, malah Kerajaan PH langsung tidak menunjukkan kemahuan dan kesungguhan melaksanakan manifesto itu.
“Banyak lagi janji untuk meringankan beban rakyat dibuat PH sebelum PRU-14 sehingga majoriti rakyat menyokong mereka.
“Namun, hari ini iaitu selepas setahun memerintah, beban kos sara hidup rakyat bukan sahaja tidak berubah, malah semakin buruk manakala janji-janji PH pula banyak yang tidak tertunai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, rakyat kini mempersoalkan apakah asas yang diguna pakai PH ketika berjanji mengurangkan kos sara hidup itu memandangkan mereka gagal menunaikannya sehingga kini.
Katanya, adalah sesuatu yang mengecewakan sekiranya asas itu adalah pembohongan semata-mata ketika majoriti rakyat mengharapkan PH membantu meningkatkan kualiti hidup mereka selaras slogan Malaysia Baharu.
“Realitinya, apa yang disaksikan rakyat ketika ini adalah alasan demi alasan dan pusingan U yang dibuat Kerajaan PH semata-mata untuk mengelak dan menutup kegagalan mereka menunaikan janji kepada rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE