Menu

IKLAN


CANBERRA: Ahli politik Australia yang menyalahkan pendatang Islam susulan serangan di masjid Christchurh di New Zealand Mac lalu, Fraser Anning, gagal mempertahankan kerusi Senatnya.
Anning, yang dikecam dua parti politik berbeza berhubung pandangan berunsur perkauman itu, kalah pada pilihan raya umum Australia semalam.
Parti barunya, Parti Konservatif Kebangsaan, yang baru dibentuk bulan lalu, tidak memperoleh undi mencukupi untuk menang kerusi di kedua-dua dewan di Parlimen Australia, lapor 9 News.
Anning mencetuskan kemarahan April lalu apabila mengaitkan pendatang Islam dan serangan Christchurch, apabila pengganas kulit putih menembak mati 51 jemaah di dua masjid.
“Punca utama pertumpahan darah di New Zealand hari ini adalah disebabkan program pendatang yang membolehkan fanatik Islam berhijrah ke negara itu,” katanya ketika itu.
Kenyataan Anning itu juga menyebabkan seorang remaja memecahkan telur di kepalanya.
Anning cuma menerima 19 undian apabila bertanding pada 2016, tetapi selepas ahli politik yang mendahuluinya terpaksa meletak jawatan, beliau mendapati kerusi Senat.
Kekalahan Anning pada pilihan raya kali ini disambut baik pengulas dan ahli Parlimen lain.
“Fraser Anning, beliau balik ke tempat asal kerana tidak akan datang lagi ke Parlimen,” kata penganalisis Perbadanan Penyiaran Australia, Antony Green. — Agensi


 
Top