Notis usul berkenaan difailkan oleh Pendakwa Raya selaku pemohon di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Najib sebagai responden.
Menerusi notis usul itu, Pendakwa Raya memohon perintah supaya perbicaraan kes 1MDB ditunda sementara menunggu perbicaraan kes SRC diselesaikan di Mahkamah Tinggi.
Turut dipohon adalah perintah atau arahan lanjut daripada mahkamah yang difikirkan wajar.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan bersama notis usul itu berkata, perbicaraan kes SRC telah bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 10 Mei ini di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.
Sementara itu, perbicaraan kes 1MDB pula dijadualkan bermula pada 14 Mei ini manakala tarikh lain yang ditetapkan ialah 15 dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10, 11, 12, 13 dan 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun.
Muhammad Izzat berkata, dalam prosiding perbicaraan kes SRC International, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya bersedia untuk menulis surat Hakim Collin Lawrence Sequerah memohon supaya perbicaraan kes 1MDB ditunda, yang mana tiada bantahan bagi pihak pembelaan.
“Hakim Mohd. Nazlan memaklumkan bahawa beliau tiada bantahan untuk meneruskan perbicaraan kes SRC International pada tarikh yang dijadualkan untuk perbicaraan kes 1MDB dengan syarat Hakim Collin menunda perbicaraan kes berkenaan,” katanya dalam afidavit itu.
Muhammad Izzat berkata, Pendakwa Raya telah mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk menulis surat kepada Hakim Collin satu tarikh sebutan hari ini, pada pukul 9 pagi untuk mereka hadir bagi memohon perbicaraan kes 1MDB ditunda.
“Surat tersebut dihantar ke mahkamah semalam yang mana mahkamah kemudiannya membalas surat itu dan memaklumkan bahawa permohonan penangguhan perbicaraan kes berkenaan ditolak,” katanya. - UTUSAN ONLINE