.... Pesara kerajaan rugi RM161,000 ditipu Macau Scam | AAKJ




KUANTAN: Seorang pesara kerajaan kerugian RM161,000 akibat terperdaya ugutan sindiket Macau Scam mahu menangkap serta mengurung mangsa di dalam bilik gelap selama 45 hari tanpa makan dan minum kerana didakwa terbabit kes dadah.
Kejadian bermula 21 April lalu apabila wanita berusia 60 tahun dan tinggal di Beserah itu menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa terbabit sindiket dadah dan dikehendaki membayar RM20,000 sebagai cukai pendapatan.
“Namun, mangsa menafikan dakwaan itu lalu suspek mengarahkan wanita berkenaan menekan butang satu untuk maklumat lanjut sebelum talian disambungkan kononnya kepada pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu, Sabah.
“Suspek yang menyamar sebagai ‘Sarjan Zul Hamizul Abas’ memaklumkan mangsa bahawa kes itu sangat berat sebelum memindahkan panggilan kononnya kepada ‘Inspektor Kumar Singh’ pula,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, ‘Inspektor Kumar Singh’ terus menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa wanita itu boleh ditahan serta ditempatkan di dalam bilik gelap selama 45 hari tanpa makan dan minum.
Beliau berkata, mangsa yang ketakutan akibat ugutan itu kemudian membuat tujuh pindahan wang ke dalam lima akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM161,000 seperti diarahkan suspek.
“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas membuat pemindahan wang itu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya
-bharian

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top