.... Pengundi Parlimen Sandakan diseru keluar mengundi Sabtu ini - SPR | AAKJ




SANDAKAN: Seramai 39,684 orang daripada 39,856 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Sabtu ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 172 orang telah mengundi secara pos.
Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi berkenaan supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi Sabtu ini.
Beliau berkata, pengundi dinasihatkan agar merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari 7.30 pagi hingga 5 petang.
Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.
Katanya, semakan boleh dibuat dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my; telefon ke talian 03-88927018, menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak, atau SMS ke 15888 (taip) SPRSEMAKNo Kad Pengenalan).
Azhar berkata, semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.
Beliau berkata, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
Katanya, kad pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.
Selain itu, katanya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya. – BERNAMA

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top