.... Pengerusi DAP Jerantut ditahan kes ugut OCPD | AAKJ





POLIS mengesahkan penahanan Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong, hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai mengugut Ketua Polis Daerah (OCPD) Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan pada Khamis lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, Loo ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada 3 petang hari ini selepas dipanggil bagi membantu siasatan.
“Kita panggil dia untuk membantu siasatan berhubung ugutan menerusi aplikasi WhatsApp yang dilakukannya ke atas OCPD baru-baru ini.
“Selepas keterangannya diambil dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Harian Metro difahamkan laporan polis dibuat Mazlan pada Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada Loo menerusi aplikasi WhatsApp.
Ia dipercayai susulan tindakan sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Jerantut yang menjalankan operasi membanteras penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah itu yang menimbulkan bantahan beberapa pihak yang tidak senang dengan tindakan itu.
Mohd Zakaria berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit Loo untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan secara adil dan profesional akan dilakukan pihaknya serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah ketika dihubungi mengesahkan penahanan Loo, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana berada di luar negara.
-hmetro

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top