Mangsa, Fan Yeong Fatt, 35, mula mendaki pada pukul 8 pagi sebelum tersesat dan tidak turun semula sehingga senja.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada pukul 8.40 malam.
“Bapa mangsa memaklumkan mereka mendaki bersama, tetapi dia turun semula kerana tidak mampu meneruskan pendakian manakala mangsa meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun anaknya tidak turun selepas beberapa jam dia menunggu di kaki gunung,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohamad berkata, operasi mencari mangsa bermula pada pukul 10 malam membabitkan 20 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM).
Ujarnya, mangsa gagal ditemukan termasuk di lokasi terakhir dia dilihat iaitu di Telapak Buruk sebelum bomba menamatkan sementara operasi pada pukul 5 pagi.
Bagaimanapun, katanya, mangsa ditemukan di kaki gunung tanpa sebarang kecederaan selepas dia turun sendiri ketika operasi mencarinya disambung pada pukul 8 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE