.... PAS akan panggil menantu Hadi jelaskan isu 'kartel dedak' | AAKJ




PAS akan memanggil Zaharudin Muhammad yang merupakan menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan berhubung tulisan di laman sosial Facebooknya.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memaklumkan perkara itu sebagai merujuk kenyataan Zaharudin berhubung "kartel dedak" baru-baru ini.
"Saya akan dapatkan laporan daripada dia (Zaharudin). Kita tak boleh nak berdasarkan media sosial sahaja. Jadi kita akan panggil dia untuk dapatkan penjelasan.
"Kalau betul dia buat kenyataan itu, kita akan dapatkan penjelasan lanjut. Apa maklumat dia dan apa tujuan dia," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun Umno ke-73 di Kuala Lumpur, malam tadi
Selepas dilihat berdiam diri dari mengulas isu-isu berkaitan PAS, semalam Zaharudin akhirnya bersuara mengenai penularan audio Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengandungi pengakuan penerimaan dana Umno.
Sejak komen dibuat pada 7 Mei lalu, sudah ada sekurang-kurangnya lapan hantaran dimuat naik menantu presiden PAS itu berkaitan isu yang turut dikenang dengan gelaran "Ana tahu" itu.
Zaharudin menggelarkan kumpulan dalam PAS yang bertentangan dengannya sebagai "kartel dedak" merujuk kepada dana yang diterima pihak tertentu daripada Umno atau orang berkaitan Umno.
Dalam hantaran di media sosialnya, Zaharudin bagaimanapun berkata kenyataan terbarunya itu bertujuan untuk menghindarkan fitnah yang sedang menjalar, bukan mengejutkan fitnah yang sedang tidur.
Zaharudin juga membayangkan beliau bersedia menunjukkan lebih banyak bukti berkaitan isu berkenaan sekali gus menafikan pengakuan dibuat Nik Abduh sebelum ini.
Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan keputusan untuk memanggil Zaharudin adalah mengikut prosedur parti.

"Prosedur (parti) kita akan panggil dia, dan betul ke dia yang buat kenyataan itu, apa tujuan dan sebagainyalah (akan ditanya)," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya ada merujuk perkara itu kepada presiden PAS, beliau berkata ia hanya di peringkat pentadbiran parti saja.
"Tiada (merujuk presiden PAS), ini di peringkat pentadbiran sahaja," katanya.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top