.... Nik Abduh harap arahan tutup kedai makan waktu tarawih ditarik balik | AAKJ



Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berharap kerajaan Kelantan menarik balik arahan agar kedai makan dan restoran ditutup pada waktu solat tarawih.
Menurutnya, arahan itu mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan.
"Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat tarawih tadi. Selepas sahkan kebenarannya, saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.
"Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang," katanya dalam catatan di Facebook, malam tadi. 


Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Setiusaha Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan agar perkara itu dikuat kuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang bulan puasa kali ini.
Arahan tersebut supaya restoran atau kedai makan ditutup sementara pada jam 8.30 malam hingga 10 malam iaitu waktu lazim menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.
Sementara itu, Nik Abduh yang juga anggota parlimen Bachok berkata pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah Rasullah S.A.W.
"Barang siapa yang diharamkan oleh Allah dengan keberkatan dan kelebihan di bulan ramadan, maka sesungguhnya dia telah diharamkan daripada segala kebaikan," katanya yang memetik maksud hadis.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top