Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya sentiasa memikirkan apakah inisiatif atau program-program terbaik yang dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.
"Saya dan rakan-rakan exco serta seluruh jentera kerajaan negeri faham bahawa yang penting sekarang ialah pertumbuhan ekonomi negeri, jika ekonomi rakyat dapat ditingkatkan, maka banyak masalah dapat diselesaikan.
"Tapi kita faham nak capai dan tingkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) isi rumah misalnya, ambil masa yang lama dan setahun adalah tempoh yang tidak cukup untuk lihat hasil usaha yang kita sudah lakukan dengan kerjasama kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita dalam satu temu bual khas sempena setahun pentadbiran PH di Kedah, di kediaman rasminya di Sri Mentaloon, di sini.
Beliau berkata, semua perancangan sedang dilaksanakan sedikit demi sedikit, tapi proses itu mengambil masa yang agak panjang dan kerajaan memohon agar rakyat memahami situasi berkenaan.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri bagaimana pun, tidak mahu menghalang rakyat untuk membangkit dan mengingatkan pihaknya tentang pelaksanaan manifesto kerana ia merupakan hak mereka.
"Sambil-sambil itu kerajaan negeri faham masalah rakyat seperti kos sara hidup yang semakin naik dan harga barang yang tidak turun, justeru kita mohon bantuan kerajaan Pusat dan macam-macam (bantuan) disalurkan untuk ringankan beban rakyat," katanya.
Sementara itu, sebagai negeri yang kurang sumber pendapatan dan mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada kerajaan Pusat, Mukhriz berkata ia tidak menjadi masalah kerana kerajaan hari ini tidak seperti sebelum ini.
Mukhriz berkata, kerajaan PH dilihat lebih terbuka dan tidak mempunyai contoh yang tetap dan kerajaan Pusat sentiasa sudi mendengar apa juga permintaan dari pihak kerajaan negeri.
"Kadang-kadang dia (kerajaan Pusat) terima dan jika tidak (ia disokong) dengan hujah kenapa tidak dapat pertimbang permintaan itu dan ini satu pendekatan sangat baik," katanya.
Dalam isu air di Kedah misalnya, beliau berkata kerajaan Pusat membuka ruang rundingan yang luas untuk bersama menyelesaikan masalah itu dan keputusan menukarkan hutang infrastruktur air kerajaan negeri kepada geran adalah satu inisiatif yang sangat baik.
Sementara itu, mengulas mengenai kononnya sokongan terhadap PH semakin merosot, Mukhriz berkata pihaknya mengambil iktibar daripada dakwaan-dakwaan seumpama itu dan menjadikannya sebagai pendorong untuk berusaha dengan lebih gigih. - BERNAMA