.... Kadir Jasin minta polis siasat syarikat berkait keluarga diraja Johor | AAKJ




PETALING JAYA: Penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin, menggesa polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya menyiasat sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Johor.
Dalam tulisan di laman Facebooknya, bekas wartawan kanan itu menyindir Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam perang mulut yang berterusan antara Putrajaya dengan Istana Johor.
Hantarannya pada jam 6 petang tadi dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggelar Tunku Ismail sebagai “budak kecil”.
Kadir berkata, sesuatu perlu dilakukan terhadap “budak kecil” tersebut dan tidak hanya bercakap sahaja.
“‘Little boy’ atau budak kecil macam bom atom yang meranapkan Hiroshima pada tahun 1945 ini amat berbahaya walaupun dia kecil dan tak tahu apa-apa.
“Jadi kita kenalah buat sesuatu. Tak cukup dengan cakap saja,” katanya.
“Lagipun budak kecil ini sudah alu-alukan kita untuk melakukan 110%,” kata beliau lagi merujuk kepada kenyataan Tunku Ismail pada Sabtu yang mencabar pihak yang mahu “finish” keluarga diraja itu supaya bertindak sepenuh tenaga,
Kadir berkata, “jadi kita minta ketua polis negara yang baru (Abdul Hamid Bador) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri tengok banyak mana cukai Mados Sdn Bhd bayar sejak beratus tahun berniaga.”
Beliau mengakhiri tulisannya dengan soalan kepada pembaca: “Tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari setuju?”
Mados Sdn Bhd dipercayai ditubuhkan oleh datuk Tunku Ismail, iaitu almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, menurut laporan Malaysiakini pada 2014.
Bidang perniagaan syarikat tersebut termasuklah “pelaburan hartanah, khidmat pengurusan, pembalakan dan operasi kuari”, sementara pemegang saham dan lembaga pengarahnya terdiri daripada anggota keluarga diraja.
-freemalaysiatoday

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top