.... Jangan risau, mama - TMJ | AAKJ




Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menenangkan kerisauan bondanya Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris yang terasa tertekan apabila anakandanya "dimaki hamun dan diperli."
"Jangan risau mama. Segala-galanya akan baik sahaja. Tidak kira betapa gelapnya ribut melanda, ia akan sentiasa ada sinar mentari. Ini janjiku kepadamu, wahai ibuku. Allah peliharakan sultan," titah pewaris takhta Johor pada hantaran Facebook malam ini.
Terdahulu, bonda TMJ membuat hantaran di media sosial menzahirkan kebimbangan baginda mengenai maklum balas yang menimpa anakandanya, dipercayai merujuk kepada Tunku Ismail yang terlibat dalam perbalahan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai isu pemeterian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
"Oleh sebab kami sekeluarga menyedari kami umat Islam, dan setiap kali kami bersujud kami juga menyedari kami adalah hamba Allah, kami tahu kami tiada kuasa di dunia ini.
"Hanya Allah yang berkuasa, bukan kami. Kami hanya manusia biasa yang tidak boleh lari dari kesilapan dan kelemahan.
"Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas yang terakhir, dan melihatnya dikebumikan, mungkin tidaklah salah jika saya terasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli, dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak, dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun.
"Kepada mereka, saya berdoa semoga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayahnya.
"Dan kepada mereka yang memberi nasihat pula kepada anak-anak saya, saya mengucapkan terima kasih dengan hati yang ikhlas.
"Kepada Allah saya mengadu; kepada Allah saya menangis. Sebagai hambanya, saya menerima dugaannya, dan saya reda," titah Raja Permaisuri Johor.
Baginda kehilangan anakandanya Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat kerana menghidap kanser pada Disember 2005.
Dalam perkembangan berkaitan, dua hari yang lalu seorang lagi anakanda Raja Zarith Sofiah, adinda kepada TMJ, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar memberi gambaran melalui media sosial kemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Dalam kiriman Instagram Story, Tunku Idris, 31, berpakaian rasmi diraja, memuat naik pilihan antara parlimen Muar atau Mersing dengan keterangan "I am running #PRU15" (saya bertanding PRU15).
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada baginda sekadar bergurau tentang perkara itu.
Berdasarkan kiriman itu, jumlah peratusan undian yang mahukan baginda bertanding di Muar adalah 75 peratus, sementara di Mersing 25 peratus, seperti dilapor Sin Chew Daily.
Untuk rekod, penyandang parlimen Muar ketika ini ialah Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sementara parlimen Mersing disandang ahli parlimen dari Umno, Latiff Ahmad.
Perkembangan terbaru itu hadir selepas Syed Saddiq mempertikaikan Tunku Ismail ketika mempertahankan Dr Mahathir.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top