Anifah berkata, Kabinet kemudian mengkaji semula isu tersebut pada tahun 2015 dan telah memutuskan Malaysia bersetuju untuk menyertainya dan mengarahkan Peguam Negara untuk menyediakan kertas-kertas kerja yang diperlukan untuk dibentangkan semasa mesyuarat Kabinet.
“Walau bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara tidak pernah menyediakan kertas-kertas itu.
“Sehubungan itu, dakwaan jurucakap G25, Noor Farida Mohd. Ariffin yang mendakwa saya tidak menandatangani instrumen penyertaan Statut Rom pada bulan Mac 2011 adalah gambaran yang salah dan tidak tepat pada keseluruhan keadaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anifah, walaupun dalam tempoh itu Noor Farida telah mencadangkan agar Malaysia bersetuju dengan Statut Rom namun ada perkara-perkara yang tidak jelas perlu ditangani seperti kebimbangan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara yang secara sah salah satu adalah pihak berkuasa tertinggi.
“Kebimbangan ini perlu ditangani, sebab itulah kami menunggu kertas daripada Jabatan Peguam Negara untuk dikemukakan kepada kabinet.
“Apabila menandatangani sebarang statut atau apa-apa yang mewakili negara, saya selalunya sangat berhati-hati kerana kesilapan boleh menyebabkan kesan negatif di dalam dan di luar negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE