Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahrir Adnan berkata, keputusan mengejutkan itu bakal mendatangkan lebih banyak keburukan terutama berkaitan aspek keselamatan jalan raya dan ancaman penjenayah.
Sehubungan itu katanya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook digesa menarik balik keputusan tersebut dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.
“Persoalannya, adakah kajian sudah dibuat secara menyeluruh? Langkah ini mengundang banyak implikasi buruk. Risiko kemalangan meningkat lebih-lebih lagi apabila pemanduan dalam keadaan hujan lebat kerana jarak penglihatan terhad.
“Selain itu, penjenayah juga boleh berselindung di sebalik cermin gelap. Lebih parah jika anak-anak kecil diculik dan diletakkan di tempat duduk belakang untuk mengelak daripada ditemui polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas isu penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada bahagian sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan persendirian yang dikuatkuasakan hari ini. - UTUSAN ONLINE