.... ‘Idea kerajaan PH bukan saja luar kotak, malah luar otak’: UMMAH | AAKJ




KUALA LUMPUR, 28 Syaaban 1440H, Sabtu – Idea pemimpin kerajaan hari ini bukan sahaja di luar kotak, malah di luar otak, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) – sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana – berkata demikian susulan cadangan pemimpin sebelum ini, yang menyuruh rakyat minum minyak sawit serta menanam buluh.
“Saya nak kata kepada mereka kalau tak tahu nak memimpin negara, bubar Parlimen hari ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di hadapan pusat beli belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Aminuddin berkata demikian sebagai merujuk pesanan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta rakyat Malaysia supaya meminum sesudu minyak sawit sehari ketika Kempen Sayangi Sawitku pada 24 Mac lalu.
Kenyataan sinis itu juga turut merujuk cadangan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang menyarankan pekebun kecil memberi tumpuan kepada tanaman alternatif seperti buluh, bagi melawan kejatuhan harga sawit di pasaran dunia.
Menyifatkan kerajaan pada hari ini sebagai penipu, Aminuddin berkata, kerajaan bukan sahaja menipu manifesto, malah pemikiran rakyat.
“Mereka menaikkan ideologi komunis sekarang. Dua hari lepas mereka membuat satu forum yang mana menyatakan 30 tahun lagi, Malaysia akan berpecah kepada tujuh negara. Mereka mula menghasut pemikiran rakyat. Ini agenda mereka. Mereka kata mereka sayang pada negara. Penipu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa suara rakyat adalah suara keramat yang boleh menentukan dasar kerajaan.
Terdahulu, lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berhimpun secara aman bagi menzahirkan perasaan tidak selesa terhadap isu-isu yang dilihat mengancam kedaulatan Islam dan Perlembagaan.
Mengenakan pakaian berwarna putih, Himpunan Pertahan Kedaulatan (Himpunan 405) itu turut dihadiri pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik termasuk Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), UMNO, PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
-ismaweb

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top