Kumpulan berkenaan melakukan jenayah samun dan ragut dengan menunggang motosikal serta menyasarkan mangsa yang berjalan berseorangan.
Semasa melakukan samun, suspek menggunakan parang untuk mencederakan sasaran sebelum melarikan barang-barang berharga milik mangsa.
Kumpulan berkenaan dikenali sebagai ‘Geng Panjang’ kerana gelaran ketua mereka adalah ‘Panjang’.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua anggota kumpulan berkenaan diberkas dalam operasi polis di beberapa lokasi di sekitar daerah ini pada 23 April lalu.
“Bertindak hasil risikan, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menahan seorang lelaki yang sedang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru di Jalan Bukit Ubi kira-kira pukul 3 petang.
“Hasil tangkapan itu, polis membuat serbuan di bilik sewa tidak bernombor di bangunan rumah kedai di Jalan Bukit Ubi dan menahan dua individu termasuk seorang wanita selain merampas pelbagai jenis telefon bimbit, peralatan serta senjata yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun,” katanya dalam sidang akhbar di IPD di sini hari ini.
Menurut Mohamad Noor, polis yang melakukan tindakan susulan dua jam kemudian dengan menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah menahan seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan berkenaan.
“Dengan tumpasnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes samun dan ragut di sekitar bandar ini sejak pertengahan Mac lalu.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 5 Mei ini dan kes disiasat Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan serta menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE