Keempat-empat tertuduh, Fauzi Yazid, 47; Nik Nurilham Muhamad@Afandi, 41; Mohd. Zulhilmi Amzar Zuhaimi, 27, dan Raja Alfaisal Raja Azlan, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret, Nurasidah A. Rahman.
Masing-masing dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,000, manakala mahkamah turut memerintahkan Nik Nurilham, Raja Alfaisal dan Fauzi membayar kos penjagaan dan rawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.
Nik Nurilham diarahkan membayar sebanyak RM706.04 manakala Raja Alfaisal dan Fauzi masing-masing diarahkan membayar sebanyak RM109.51.
Mengikut kertas pertuduhan, Nik Nurilham didakwa memindahkan tujuh ekor ayam hidup, Mohd. Zulhilmi empat ekor ayam mati dan Raja Alfaisal serta Fauzi masing-masing seekor ayam hidup menggunakan bas ekspres.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Platform B, Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru pada pukul 11.20 pagi pada 7 April tahun lalu. - UTUSAN ONLINE