.... Ekonomi Malaysia diunjur perlahan pada 2019 - OCBC | AAKJ




KUALA LUMPUR: OCBC Bank menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan lebih lemah tahun ini dengan pertumbuhan tahun penuh pada 4.4 peratus bagi tahun ke tahun.
Katanya, data semasa juga terus menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada tahun akan datang berikutan ketidaktentuan persekitaran dagangan global.
“Langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman pada minggu lepas mungkin dilihat sebagai tindakan awal (menangani) keadaan ini. Setakat ini, kami tidak menjangkakan sebarang penurunan (OPR) seterusnya pada 2019 kecuali wujudnya perkembangan yang membawa kepada penyusutan ketara pertumbuhan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Bank pusat Malaysia hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini yang mengatasi unjuran OCBC sebanyak 4.4 peratus.
OCBC berkata ringgit turut susut (di bawah 4.16) berbanding dolar US selepas pengumuman data tersebut dan kini kembali meningkat daripada paras tersebut.
Penggunaan swasta terus kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan dengan mencatat 7.6 peratus bagi tahun ke tahun.
Pelaburan tetap pula berkurangan 3.5 peratus tahun ke tahun yang berkemungkinan disebabkan oleh kebimbangan kalangan perniagaan terhadap persekitaran ekonomi serta usaha konsolidasi kerajaan yang sedang dijalankan.
Pelaburan awam susut 12.6 peratus bagi tahun ke tahun manakala pelaburan swasta meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 1.1 peratus bagi tahun ke tahun.
“Kami masih menjangkakan pelaburan akan lemah pada 2019 berikutan kebimbangan mengenai ekonomi dan usaha konsolidasi kerajaan yang terus dijalankan.
“Atas alasan itu, kerajaan baru-baru ini bertindak mengumumkan usaha meneruskan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur dan Bandar Malaysia yang boleh merangsang ekonomi. Namun, setakat ini tiada butiran lanjut mengenai tarikh ia akan dimulakan semula,” katanya.
-BERNAMA

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top