.... Cermin gelap undang lebih banyak keburukan | AAKJ




SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) berpandangan bahawa penggunaan cermin gelap tanpa had bakal mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, isu keselamatan menjadi antara faktor yang penting dalam perkara ini berikutan penjenayah dilihat dapat berselindung di sebalik penggunaan cermin gelap tanpa had ini.
Lebih membimbangkan, Shahir berkata risiko anak-anak kecil untuk diculik dan diletakkan di tempat duduk belakang juga amat tinggi sekiranya pelaksanaan itu diteruskan.
"Malah, golongan wanita juga terdedah kepada mudarat jika melihat kepada senario kepada tempat letak kereta. Mereka pastinya tidak perasan sama ada kereta yang di parkir sebelah mereka itu kosong atau mempunyai penjenayah di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan peraturan tiada had kadar peratusan bagi penggunaan cermin gelap di bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan persendirian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata penggunaan cermin gelap pada bahagian hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu masih kekal iaitu 70 peratus untuk bahagian cermin depan kenderaan dan 50 peratus bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu.
Mengulas lanjut, Shahir berkata walaupun sebelum ini Anthony menyatakan bahawa pelaksanaan itu dibuat susulan permintaan tinggi daripada rakyat, namun pihaknya mempersoalkan sama ada terdapat kajian menyeluruh dilaksanakan berhubung perkara itu.
"Berdasarkan laporan media kita dapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri tidak bersetuju dengan langkah ini. Dan jelas ia menunjukkan kajian oleh menteri tak komprehensif malah keputusannya dibuat terburu-buru," katanya.
Dalam pada itu, Shahir menggesa supaya Anthony membuat pusingan U berhubung pelaksanaan itu dan dapat menjalankan kajian dengan lebih menyeluruh berhubung perkara terbabit.
Tambah beliau, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan terhadap permintaan rakyat bagi mengurangkan kos sara hidup dan bukannya memberi perhatian terhadap isu cermin gelap ini.
"Kerajaan juga perlu jana pendapatan negara melalui pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dasar ekonomi yang jelas, bukannya hanya melalui bayaran RM5,000 cermin gelap ini," katanya.
-sinarharian

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top