Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, isu tersebut menarik perhatian lebih 145,000 warga PDRM sama ada yang masih atau sudah tamat berkhidmat.
“Berkaitan dengan isu ini, kita ada buat mesyuarat tergempar beberapa hari lalu ekoran beberapa keputusan yang asalnya kita terima tetapi kebelakangan ini nampaknya tentangan terhadap IPCMC ini telah disuarakan secara menyeluruh oleh ahli PDRM.
“Ada beberapa perkara yang diusulkan oleh jawatankuasa terlibat terutama yang berkaitan dengan usaha untuk menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Artikel 140 (Perlembagaan Persekutuan) iaitu isu berkaitan tatatertib dan siasatan yang telah diambil alih IPCMC,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan ‘Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun’ di Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, mereka akan mengusulkan bantahan berkaitan perkara itu dan pihaknya juga telah menulis surat kepada pucuk pimpinan berhubung perkara tersebut.
“Langkah susulan akan diambil termasuk bertemu dengan Perdana Menteri untuk menyatakan bantahan kita,” jelasnya.
Pada 13 November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah bagi memastikan ia benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, selain bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berpendapat proses maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan diperlukan sebelum IPCMC dimuktamadkan.
Muhyiddin berkata, walaupun pihak kerajaan bersetuju untuk memperkasakan IPCMC namun perkara itu masih memerlukan pemahaman mendalam.
Pada 19 Mac lalu, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya akan menyerahkan memorandum berkaitan IPCMC kepada kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.
Jelas beliau, memorandum hasil daripada perbincangan menerusi Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) itu masih dalam proses penelitian bagi memastikan ia dirangka secara menyeluruh. - UTUSAN ONLINE