Ujar beliau, penjenamaan semula itu penting bagi mengelakkan kerajaan Pakatan Harapan dianggap meniru usaha yang dimulakan oleh Barisan Nasional.
“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana secara langsung atau tidak mengakui projek yang kita cadangkan sebelum ini penting kepada sosial dan ekonomi negara.
“Cuma saya nak cadangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah (Anthony Loke Siew Fook) supaya bawa kepada kerajaan Pusat, kalau boleh tukar nama kepada ECRL 2.
“Dulu ada penjenamaan semula projek MVV (Malaysia Vision Valley) menjadi MVV 2.0. Elok tukar supaya tak nampak sangat macam BN,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung titah diraja sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di sini hari ini.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan dalam persidangan DUN semalam berkata, ECRL yang diteruskan semula oleh kerajaan akan membawa manfaat kepada Jelebu yang menjadi sebahagian jajaran baharu projek itu.
Dalam pada itu, Zaifulbahri berkata, kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau baru-baru ini penting kepada pembangkang negeri ini.
“Saya nak tekankan pentingnya Tok Mat (Mohamad) dalam DUN, beliau kaya pengalaman dan pernah menjadi menteri besar, malah ini diakui wakil dari Chennah semalam.
“Dia (Anthony) mengakui perkara itu tapi dua atau tiga minggu lalu, dia juga beriya-iya cuba kalahkan Tok Mat di Rantau,” katanya. - UTUSAN ONLINE