Menerusi status terbaru dalam Facebook rasminya, Tunku Ismail berkongsi dua artikel dalam bahasa Melayu dan Inggeris berkaitan jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri serta Kedaulatan Raja-Raja. 
“Perkara 71(1) iaitu Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri menyebut: Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa dan semata-mata mengikut apa-apa cara yang diperuntukkan Perlembagaan Negeri itu.
“Perkara 181(1) iaitu Kecualian bagi kedaulatan Raja-Raja pula menyebut: Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar yang memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas,” katanya di sini malam ini. 
Dr. Mahathir hari ini dalam laman blog beliau membangkitkan Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957.