Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh wartawan SUWARNI MOKHTAR dan HANIZA HASSAN serta jurugambar AMIR KHALID.

5.15 petang:
Perbicaraan kes hari kelima ini melibatkan Najib selesai. Perbicaraan akan disambung Isnin ini pada pukul 9 pagi.

 Saksi pendakwaan kelima, Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek Ambank, Badrul Hisam Mohamad (kiri) diiringi oleh saksi pendakwaan keenam, Pereka Hiasan Dalaman ABS Trend 

4.11 petang:
Saksi pendakwaan keenam, Pereka Hiasan Dalaman di ABS Trend Master Sdn. Bhd. Zulkarnain Mohamad, 46, dipanggil untuk memberi keterangan.
Saksi memberitahu telah melakukan kerja-kerja membina kabinet dapur dan setor di kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta pada 2014 dengan kos lebih RM200,000.

1.02 tengah hari
Mahkamah berhenti rehat dan perbicaraan akan disambung pada pukul 2.15 petang. Masih dengan saksi pendakwaan kelima.

11.49 pagi
Saksi sahkan telah berlaku kesilapan semasa memproses cek dilakukan untuk pembayaran kepada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Jumlah yang sepatutnya diterima adalah RM3.5 juta bagaimanapun bank penerima iaitu CIMB cawangan PWTC telah memasukkan jumlah sebanyak RM3,500.
Bagaimanapun baki jumlah itu telah dikreditkan kepada firma guaman tersebut pada 12 Februari 2015.
Baki bayaran itu dibuat melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) oleh pelanggan bernama Datuk Seri Najib Tun Razak.
10.30 pagi
Saksi baharu sahaja mengenalpasti cek AmIslamic yang dikeluarkan daripada akaun syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM20 juta untuk pembayaran kepada Ihsan Perdana Sdn. Bhd. pada 12 Disember 2014.
Sehingga kini sebanyak 17 cek telah dikenalpasti.
10.28 pagi
Saksi kelima sedang ditunjukkan dengan beberapa cek Ambank dan AmIslamic yang telah dikeluarkan dari akaun 2022011906 sekitar bulan Februari 2015.
Cek-cek tersebut dikeluarkan dalam jumlah yang berbeza kepada beberapa individu dan syarikat serta cawangan UMNO Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Terdapat juga cek yang dikeluarkan kepada dua syarikat dipercayai firma guaman, Zulkarnain & Co dan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
9.17 pagi
Perbicaraan diteruskan dengan saksi pendakwaan kelima, Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek Ambank, Badrulhisham Mohamad.
Saksi keempat, Ahmad Farhan Sharifudin tidak dipanggil hari ini bagi memberi peluang saksi itu mencari dokumen yang berkemungkinan mengandungi bukti perbualan antara Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan ahli perniagaan, Jho Low.
8.45 pagi
Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.45 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kesnya yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Sumber : Utusan Malaysia