.... Kerajaan PH Perlu Berhenti Hasut Anak Muda Benci Sistem Raja Melayu | AAKJ



KUALA LUMPUR, 30 April – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Kuantan Mohd Afif Mohd Anuar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya berhenti mengeluarkan kenyataan menghasut dan cuba mengelirukan golongan muda tentang peranan Raja-Raja Melayu.
Jelas beliau, walaupun PH menekankan agenda Malaysia Baru tetapi mereka harus sedar bahawa kerajaan yang memerintah dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya secara demokrasi tanpa ada campur tangan oleh mana-mana pihak termasuklah Majlis Raja-Raja Melayu.
“Kerajaan PH harus mengakui kerana demokrasilah maka Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 60 tahun akhirnya tumbang. Sebab itu saya amat kesal kerana perpaduan yang dibina selama era Malaysia moden ini telah dikeruhkan dengan agenda-agenda kotor bagi melemahkan sistem yang telah dibina selama ini.
“Sistem ini sudah matang apabila masyarakat di Malaysia hidup dalam harmoni berbilang kaum di bawah naungan Raja-Raja Melayu sebagai pengimbang kepada kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang memerintah.
“Jadi, janganlah mengelirukan anak muda yang tidak cendurung kepada sejarah Melayu atau peranan Raja kononnya Raja ini sebagai tidak perlu atau mitos Melayu yang kian pupus,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tun Dri. Mahathir Mohamad iaitu posisi Tunku Mahkota Johor (TMJ) boleh ditukar.
Kenyataan tersebut seolah-olah menghasut rakyat agar tidak menghormati sistem Institusi DiRaja.
“Kita perlu jelas bahawa keturunan Raja mana-mana negeri adalah sudah dijaga dan dimuktamadkan dan ada juga negeri yang mempunyai sedikit berbeza undang-undang tubuhnya. Walau bagaimanapun, keturunan ini masih juga akan diwarisi oleh keluarga.
“UMNO adalah sebuah parti yang lahir dari Istana maka parti keramat ini mendokong institusi beraja dan saya rasa sebagai ahli UMNO saya perlu tampil untuk mengingatkan golongan muda bahawa sejarah kesultanan tidak pernah salah dan bukan mitos malah keberadaan kita di sini mengecapi segala nikmat adalah hasil titik peluh pembesar-pembesar istana selama berzaman.
“Ini berbeza dengan kerajaan baru PH yang ditubuhkan di jalanan. Sebab itulah kesedaran tentang tampuk pemerintahan seakan-akan kabur sehinggakan sanggup untuk menidakkan Perlembagaan Persekutuan yang mana ada Raja berperlembagaan yang harus dihormati. Rukun Negara yang kedua juga ada menyebut ‘kesetiaan kepada Raja dan Negara’ dan ini fakta yang harus kita telusuri bersama,” tegas beliau lagi.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan PH untuk menghayati Perlembagaan artikel 71 (1) iaitu “Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu: tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukan oleh perlembagaan Negeri itu”.
“Artikel ini menunjukkan bahawa Raja sebagai pemerintah tertinggi sesuatu negeri dan negara mempunyai bidang kuasa tersendiri dalam merangka hala tuju negeri atau negara itu sendiri. Artikel ini juga sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana tidak boleh diabaikan dan boleh diguna pakai di mana-mana prosiding mahkamah di negara ini.
“Maka, fahamilah perkara ini dan masyarakat juga harus menyedari peranan Raja-Raja Melayu di dalam membentuk sebuah negara yang aman dan makmur kerana kuasa Raja adalah seiring dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dari sembilan negeri bersekutu,” terang Afif.
Beliau turut membidas satu forum yang diadakan baru-baru ini berkaitan ratifikasi Statut Rom yang turut disertai Peguam Negara, Tommy Thomas.
“Forum yang tular di media sosial ini secara jelas menunjukkan mereka cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan Statut Rom ini tidak akan menggugat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Di dalam video itu juga Syed Husin (bekas ahli PKR) menceritakan bagaimana Raja tidak penting dan pelbagai tomahan dilempar dan bagi saya ini adalah hasutan.
“Ia kelihatan tidak signifikan apabila peguam negara mengatakan YDPA akan terjaga tetapi dalam masa yang sama Syed Husin menghentam golongan Raja. Maka saya menyeru kepada kerajaan, cukup-cukuplah hendak menghasut. Sekarang ini masa untuk mentadbir negara dengan baik dan bukannya masa untuk bermusuh dengan istana.
“Janganlah menyentuh hal-hal yang mungkin tidak patut disentuh. Istana adalah keluarga, menyentuh hal siapa yang layak di takhta atau tidak adalah ibarat menyentuh susur galur Raja. Kuasa eksekutif tidak layak dan tidak patut ke arah itu demi membina masa depan Malaysia yang lebih baik,” tegas beliau lagi. –MediaUMNO

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top