Situasi itu timbul selepas Chew Seh Yong (DAP-Lobak) menegur jawapan kurang memuaskan oleh Teo Kok Seong (DAP-Bahau) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, berhubung isu rumah terbiar di Lobak.
Terdahulu, Kok Seong berkata, pada masa ini tiada perumahan terbiar di DUN berkenaan dan tiada aduan penduduk diterima oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sejak tiga tahun lalu.
Jawapan itu mengundang rasa tidak puas hati Seh Yong yang bangun mempersoalkan kenyataan berkenaan.
“Saya harap jawapan oleh kerajaan baharu kena profesional sikit, bijak sikit. Saya dan MPS pernah masuk satu kawasan perumahan di tingkat lima, semua hancur, macam sarang burung.
“Saya kecewa dan kasihan kenapa bagi jawapan macam ini. Kami masuk setiap perumahan ada enam, tujuh buah rosak. Saya ajak Bahau (Kok Seong) tengok sendiri. Jawapan tak ada perumahan terbiar di Lobak, terperanjat saya, kerajaan baharu macam ini?
“Saya bukan hendak serang (kerajaan) tetapi saya kecewa,” katanya ketika sesi soal jawab lisan.
Kok Seong kemudian berkata, beliau menyifatkan Seh Yong tidak mendengar jawapannya dan sedia membantu sekiranya beliau tidak faham.
“Kita akan buat terbaik selesai masalah rakyat, kita jadi wakil rakyat bukan untuk serang kerajaan tetapi rakyat pilih hendak kita bekerja.
“Kalau ada aduan rakyat saya tak pernah tolak termasuk dari wakil rakyat pembangkang. Rumah terbiar bukan saja susahkan Yang Berhormat Lobak tetapi juga saya. Kita harus selesaikan masalah ini. Ini paling penting, bukan nak tunjuk heboh dalam surat khabar,” katanya.
Suasana tegang antara kedua-dua wakil turut menarik perhatian Datuk Abdul Samad (BN-Seri Menanti) yang menyokong teguran Seh Yong. - UTUSAN ONLINE