Malah, Menteri Belia dan Sukan itu juga bertanya, mengapa Tunku Ismail tidak meminta rakyat ‘tukar’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika negara dikenali dunia sebagai negara kleptokrasi tetapi sekarang mahu menukar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Walaupun TMJ gesa orang Johor untuk kekalkan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat tetap bersama Dr. Mahathir dan menolak gesaan TMJ.
“Kami berkhidmat demi rakyat. Jatuh bangun kerajaan ini adalah di tangan rakyat. Ini negara demokrasi berperlembagaan,” katanya.
Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Baru-baru ini tular video TMJ dalam nada bergurau berkata lebih baik jika Perdana Menteri ditukar.


Baginda berkata demikian ketika disapa orang ramai yang meminta baginda menukar jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora ketika baginda dalam perjalanan keluar dari Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor menaiki kereta.


“Dari tukar Mora, baik tukar Perdana Menteri,” kata baginda dalam video tular tersebut.
Menambah cili pada pedas kritikannya, Syed Saddiq membangkitkan kegagalan Tunku Ismail bertahan lama sebagai Presiden FAM.
Kata beliau, jika hendak jaga FAM pun sukar, pastilah lebih sukar bagi seorang Perdana Menteri yang mahu memulihkan negara.
“Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta,” katanya disusuli dengan emotikon senyum. - UTUSAN ONLINE