Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 5.45 petang di hadapan sebuah hotel di Sik, Kedah.
Katanya, pemeriksaan pada kereta jenis Honda Accord dinaiki kedua-dua suspek itu mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur pada 17 April lalu.
“Dengan dipandu arah oleh suspek, pihak polis telah ke sebuah rumah di Kampung Seberang Pekan di Sik dan pemeriksaan di rumah itu menjumpai beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk menghidupkan kenderaan mewah yang dicuri.
“Suspek kemudiannya turut menunjukkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang diletakkan berhampiran sebuah restoran makanan segera di pekan Sik.
“Semakan mendapati kenderaan tersebut juga dilaporkan hilang di Jalan Baru Perai, Pulau Pinang pada 18 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Taiping di sini hari ini.
Menurut Osman, kumpulan yang menyasarkan kenderaan mewah itu aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun lalu dan terlibat dengan tujuh kes kecurian kenderaan di Johor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata,, modus operandi kumpulan berkenaan ialah menghidupkan enjin kenderaan dengan menggunakan alat elektronik yang dipanggil jammer.
Katanya, kenderaan yang dicuri kemudiannya akan diubah suai kepada nombor pendaftaran lain dengan jenis kenderaan sama sebelum dijual kepada seorang lelaki lain di Kuala Lumpur.
“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, beberapa barang dirampas termasuk dua buah kenderaan mewah, empat buah telefon bimbit, satu unit jammer dan empat unit kawalan jauh kenderaan jenis Honda.
“Turut dirampas satu unit kawalan jauh kenderaan jenis Nissan, satu unit kawalan jauh kenderaan jenis BMW, dua batang pemutar skru dan wang tunai berjumlah RM1,690 yang kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE