Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berhubung kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mendakwa sekumpulan ahli akademik cuba memanipulasi fakta berhubung Statut Rom seperti yang dilaporkan semalam.
Reezal Merican yang juga bekas Timbalan Menteri Luar turut membidas kenyataan Saifuddin tersebut.
Berikut adalah kenyataan penuh Reezal Merican:
Gelaran 'Profesor Kangkung' kepada ahli akademik tidak wajar - Siapa sebenarnya yang mahu Menteri Luar sindir?
1. Tindakan Menteri Luar Negeri memberi gelar 'profesor kangkung' kepada sekumpulan ahli akademik yang memberi pandangan tidak selari dengan kerajaan dalam isu Statut Rom sangat menghina dan tidak wajar.
2. Dalam keghairahan Menteri Luar memberi penerangan mengenai kegagalan kerajaan mendapat 'sokongan' ramai dalam isu Statut Rom - ia tidak wajar sampai ke tahap rendah akhlak seperti ini.
3. Sebagai seorang yang sangat dikenali sebagai aktivis 'civil society' dan kebebasan bersuara, Menteri Luar sudah menyanggah prinsip dirinya sendiri. Kegagalan menghormati pandangan orang lain seperti ini cukup mengecewakan.
4. Terimalah hakikat, Menteri Luar Negeri sendiri, pada hakikatnya, telah gagal sama sekali membentuk 'public opinion' yang positif dalam isu Statut Rom dan ICERD. Ini kegagalan yang bukan kecil malah memalukan seluruh pimpinan kerajaan dan anggota kabinet.
5. Oleh yang demikian, kerja propaganda media yang sedang giat dilaksanakan ketika ini, hanyalah ikhtiar 'menjaga air muka' Menteri yang kecewa dan gagal.
6. Hanya sebuah daripada 10 anggota ASEAN yang meratifikasi Statut ROm. Lebih separuh daripada negara anggota (yang mempunyai kuasa veto di dalam UNSC) mengambil pendirian sama. Banyak negara di dunia yang masih tidak menganggotai ICC. Apakah semua negara yang enggan menandatangani Rome Statute dan meratifikasinya bersifat 'kangkung' dan lemah?
7. Saya mengesyorkan Menteri Luar tidak mengambil sikap 'syok sendiri' dan ego di dalam isu ini. Jangan ujub dengan kedudukan. Akui kelemahan. Kita harap tiada niat menghina Majlis Raja-Raja di dalam siri penerangan Rome Statute ini. Keputusan telahpun dibuat. Sila hormat pendirian para Duli Tuanku dan hentikan sesi penerangan yang bersifat 'self-centric' ini. - UTUSAN ONLINE