Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan berkenaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie berdasarkan hujah dikemukakan oleh saksi-saksi pada akhir perbicaraan kes tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 15 dan 16 Mei ini bagi bicara bela diri terhadap selebriti tersebut dan Farid menerusi peguam belanya, Megat Syazlee Mokhtarom memilih bicara itu dari keterangan bersumpah kandang saksi.
Sebelum ini pengarah filen itu didakwa telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.
Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Sepanjang perbicaraan tersebut yang bermula 18 Disember tahun lalu, seramai lima saksi telah dipanggil memberi keterangan dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran.
Dalam prosiding sama mahkamah juga menetapkan 30 Mei ini untuk keputusan diakhir pendakwaan empat lagi pertuduhan terhadap Farid iaitu mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan Balai Polis Trafik Kota Damansara pukul 1.20 petang pada 11 Januari lalu. -UTUSAN ONLINE