.... Cucu tak setuju Dr M jadi PM sekali lagi | AAKJ




Seorang cucu kepada Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak gembira apabila mengetahui datuknya kembali memegang jawatan perdana menteri setelah lebih sedekad bersara.
Ineza Roussille, yang juga seorang pembikin filem meluahkan perasaannya dalam satu wawancara bersama akhbar South China Morning Post (SCMP). 
“Keluarga kami agak sibuk. Kami cuba untuk bercuti bersama-sama setahun sekali.
“Tapi saya tak pernah bincang politik dengan datuk saya sebab ada beberapa perkara yang dia buat, saya tak setuju. Lagipun terdapat peraturan tak bertulis bahawa kami tak akan mengkritik sesama sendiri di khalayak.
“Saya memang tak pernah sependapat dengannya secara politik, jadi saya rasa itu (Dr Mahathir kembali jadi PM) adalah hala tuju yang salah untuk negara ini,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan.
Ineza merupakan anak perempuan Marina Mahathir dan terlibat dalam pengambaran dokumentari kempen Dr Mahathir berjudul ‘M for Malaysia’ menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.
“Jadi bila mak saya tanya, boleh tak saya turut serta untuk pengambaran dokumentari itu, saya sebenarnya agak berat nak terima pelawaan itu.
“Salah satu sebabnya, saya tak mahu dilihat rapat dengan jentera politik dan dilihat hilang pandangan objektif saya sendiri.
"Sebab lain ialah saya lebih selesa tak dikenali. Saya tahu dengan menyertai kempen itu, saya akan lebih terdedah dan dikenali, lebih daripada yang saya selesa,” katanya.
Cerita tentang rakan sekolah
Seorang lagi pengarah bersama dokumentari itu ialah Dian Lee, anak taikun perniagaan Lee kim Yew yang juga merupakan rakan rapat Mahathir.
Tidak seperti bapanya, Dian juga bersikap kritikal terhadap pentadbiran lama Mahathir.
“Saya berbeza pandangan sendiri terhadap Mahathir.
“Saya percaya dia bertanggungjawab terhadap keadaan negara kita sekarang ini. Dalam usahanya menjadikan Malaysia sebuah negara maju, dia mengetepikan banyak elemen semak dan imbang yang penting untuk negara kita,” katanya.
Ineza, 32, juga mengimbas bagaimana rakan sekolahnya, iaitu anak perempuan Anwar Ibrahim menangis selepas ayahnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir pada 1998.
Katanya, sekumpulan rakan sekolahnya mententeramkan anak perempuan Anwar, dan dia datang bertanya untuk mengetahui apa yang terjadi.
Bagaimanapun, mereka seolah-olah menunding jari kepadanya seperti dia yang harus dipersalahkan.
“Saya tak lalui penderitaan seperti yang dilalui oleh anak-anak Anwar. Tapi tahun 1998 adalah masa yang agak kelam-kabut. Mereka di sekolah akan cakap macam-macam yang buruk kepada saya setiap hari,” tambahnya lagi.
Filem dokumentari
Memandangkan dokumentari itu kebanyakannya dirakam semasa tempoh kempen PRU selama 11 hari, Anwar yang ketika itu masih dalam penjara tidak ditampilkan dalam dokumentari tersebut.

Bekas perdana menteri Najib Razak pula enggan ditemu bual.
Sementara itu, isteri Anwar, Dr Wan Azizah Ismail yang kini merupakan timbalan perdana menteri, menceritakan bagaimana dia bimbang Anwar mati dalam tahanan pada 1998.
“Selepas rumah kami diserbu, suami saya dibawa pergi menaiki van. Keesokan paginya, saya diberitahu oleh seorang kawan [...] yang Anwar dah meninggal dunia. Itu buatkan saya betul-betul terganggu.
“Khabar angin itu tersebar apabila orang yang pergi ke bilik tahanan Anwar untuk menukar mentol, nampak jasad yang diselubungi kain macam mayat. Itulah harinya, masa yang paling teruk saya rasa dalam hidup saya,” katanya lagi.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula menceritakan bagaimana dia berdepan tentangan hebat daripada partinya apabila Pakatan Harapan (PH) menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteir.
Kata Ineza, sebelum terlibat dalam dokumentari itu, dia hanya pernah melihat datuknya yang berusia 93 tahun itu ketika percutian keluarga sahaja.
Bagaimanapun, tambahnya, menyaksikan sendiri bagaimana Mahathir bekerja buat pertama kali merupakan pengalaman yang mengkagumkan.
Kata Ineza lagi, turut terbit rasa hormat dalam dirinya terhadap neneknya, Dr Siti Hasmah Ali, yang setia mengikut suaminya sepanjang kempen.
'Kali ini saya peduli'
Pada sisi lain pula, pengalaman itu memberikan pembikin filem itu satu perspektif baru terhadap datuknya dan suasana politik di Malaysia.
“Politik menjadi sesuatu yang lebih personal buat saya.

“Apabila orang serang dia (Mahathir), saya sakit hati. Jika dia cakap sesuatu yang saya tak setuju, saya sakit hati juga. Kali ini, saya peduli. Ketika dia jadi PM dulu, saya belum cukup dewasa,” katanya lagi.

Menurut artikel SCMP, Mahathir memberikan kerjasama yang baik (semasa pengambaran) dengan menerangkan apa yang berlaku setiap hari kepada kru pengambaran.
Katanya, ada juga saat-saat yang bersifat lebih peribadi dirakam, contohnya ketika Mahathir memeriksa draf ucapannya ketika baru bangun tidur dan masih memakai baju tidur.
Ineza menjelaskan, sebelum PH memenangi PRU-14, kru pengambaran sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan rakaman tersebut.
“Pada masa itu (kemenangan PH), kami pun putuskan untuk sunting rakaman 90 jam itu menjadi sebuah filem. Sebelum itu, kami cuma rakam sahaja,” katanya lagi. 
Sumber: malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top