.... Balu bekas setiausaha sulit Najib mengaku terima RM52,680 | AAKJ





KUALA LUMPUR - Seorang balu kepada bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku menerima tiga keping cek berjumlah RM52,680 daripada Najib bagi membiayai pendidikan dua anaknya selepas kematian suaminya.
Manisah Othman, 55, isteri kepada Amirudin Mohd Baria berkata beliau menerima cek berjumlah RM13,800 pada 2015 selepas kematian suaminya pada 21 Jun 2013 akibat kanser usus tahap empat.
Semasa sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Manisah memberitahu bahawa Najib ada melawat arwah suaminya ketika beliau dimasukkan ke Hospital Prince Court pada 2013.
"Ketika itu, Najib ada berjanji untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak kami sekiranya sesuatu terjadi kepada dirinya.
"Namun beliau tidak menyebutkan secara spesifik jumlah atau bila bantuan itu akan diberikan kepada kami...tetapi beliau ada berjanji," kata Manisah yang bekerja sebagai Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Muhammad Saifuddin: Puan ada terima bantuan itu?
Manisah: Alhamdulillah, ada
Muhammad Saifuddin: Dalam bentuk apa?
Manisah: Cek
Manisah berkata beliau menerima satu cek berjumlah RM13,800 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya dan hanya digunakan pada permulaan semester untuk pembayaran yuran kedua-dua anak lelakinya yang kini berusia 27 dan 23 tahun.
Terdahulu, Manisah berkata jawatan terakhir arwah suaminya adalah sebagai Pegawai Liasion di Boustead Holdings yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri semasa Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Saksi itu berkata, arwah pernah bekerja sebagai Setiausaha Sulit Najib ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Manisah mengesahkan ada menerima cek berjumlah RM9,360 pada 2013, RM29,520 pada 2014 dan RM13,800 pada 2015.
"Saya menerima ketiga-tiga cek itu melalui rakan sekerja arwah suami saya iaitu 'En. Khairul'," katanya.
Ditanya Muhammad Shafee bertanya sama ada beliau menerima bantuan lain pada 2016, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata "tidak".
Muhammad Shafee: Selepas suami Puan meninggal dunia, Datuk Seri Najib ada membuat aku janji kalau ada apa-apa terjadi pada arwah, Najib akan bertanggung jawab kepada pendidikan anak Puan?
Manisah: Setahu saya tidak ada akur janji, tetapi Datuk Seri tetap memegang janjinya dan tetap bantu biayai pendidikan dua anak saya.
Muhammad Shafee: Setuju bahawa Datuk Seri Najib mengambil berat tentang pendidikan anak-anak Puan?
Manisah: Setuju
Ditanya mengenai pendidikan kedua-dua anak lelakinya, Manisah berkata anak sulungnya yang kini berumur 27 tahun dan yang bongsu 23 tahun itu masih lagi menuntut di universiti kerana masalah kesihatan.
“Anak bongsu kami mempunyai masalah buah pinggang, patut sudah habis belajar, tetapi ada semeter yang ‘defer’ jadi masih lagi ‘drag’, kami sebenarnya nak buat ‘transplant’ (pemindahan) buah pinggang abang kepada adiknya. Oleh sebab itu pelajaran kedua-dua anak saya banyak tertangguh,” katanya.
Kepada soalan Muhammad Shafee adakah beliau ada memberitahu Najib mengenai keadaan anaknya yang masih belum menamatkan pelajaran, saksi itu berkata tidak kerana beliau tidak pernah berhubung dengan Najib mengenai perkara itu tetapi melalui “En Khairul”.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung jam 12 tengah hari esok.
Ini kerana esok pagi Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengetepikan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.282 bilion. -Bernama

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top