.... Kali Ini Menteri Pendidikan Kena Dengan Cikgu Sekolah Rendah | AAKJ



Maaf YB Menteri. Yang ini saya tidak setuju. Bahkan mustahil nak laksanakan.

Semalam, banyak portal berita berkongsi hal ini. Di mana Dr Maszlee selaku Menteri Pendidikan meminta semua sekolah melaksanakan Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) yang diideakan oleh IPG Ilmu Khas.

KENAPA SAYA TIDAK BERSETUJU? Kerana realitinya tidak seindah dan semudah yang YB lihat di IPG Ilmu Khas. Kami berhadapan dengan murid sekolah rendah dan menengah. Bukannya bakal guru yang cukup matang dan berdedikasi.

Bahkan, kata-kata YB sedikit mengguris hati guru-guru bila hal ini dikongsi dalam group guru yang dianggotai lebih 100k ahli. Apa yang mengguris hati?

Perkataan leteran. Seolah-olah selama ini guru hanya berleter kosong di tapak perhimpunan.

Guru tidak berleter kosong ditapak perhimpunan, YB. Guru memberi nasihat demi nasihat. Nasihat yang perlu diulang-ulang hampir setiap minggu. Kerana di hadapan kami adalah murid-murid yang belum pun matang fikirkan mereka.

Peringatan perlu diulang selalu supaya melekat dalam kepala. Agar flush tandas setiap kali guna, agar beratur semasa membeli makanan di kantin, agar tidak curi bekal makanan kawan, agar jangan minum air kawan tanpa izin, agar tidak sharp pensel di bawah meja, agar tidak korek hidung kemudian calit najisnya di bawah meja.

Begitu juga dengan peringatan disiplin. Medan perhimpunan adalah medan paling sesuai mengingatkan murid tentang peraturan yang mesti mereka patuh dan apa pula larangan semasa.

Perhimpunan juga sebagai medan bagi kami melancarkan segala program seperti Program Nilam, Minggu Anti Dadah, Bulan Kemerdekaan, Program Guru Penyayang, dan berpuluh-puluh lagi program yang KPM juga wajibkan sekolah buat.

Semasa melancarkan program, ada pula gimiknya supaya ia meriah dan murid suka. Ada lakonan, ada nyanyian, ada persembahan, ada kejutan. Dan itu semua memakan masa, YB.

Maka sebab itu saya kata, adalah mustahil untuk laksanakan perhimpunan dalam masa 10 minit seperti yang dicadangkan.

Untuk menyusun murid itu sahaja dah makan masa 5-10 minit. Belum kira memujuk murid tahun 1 yang tak nak ikut berbaris lagi, belum kira nak selesaikan murid mengadu dibaling batu, nak luruskan barisan pun dah satu hal pula.

Mereka anak-anak kecil yang masih tak tahu apa, YB. Bukan pelajar IPGM yang dah layak jadi emak orang, jadi ayah orang.

Selepas susun murid beratur, 3 buah lagu wajib perlu dinyanyikan. Lagu Negaraku, lagu Negeri, dan lagu sekolah. Agak-agak, kat situ dah makan masa berapa minit ya YB?

Selepas lagu, perlu ada ikrar pula. Ikrar sangat penting untuk rakyat sentiasa ingat tentang rukun negara dan memupuk sikap patriotik dalam diri. Dan pastinya itu pun akan memakan masa juga.

Takkan lepas ikrar murid bergerak masuk ke kelas terus? Tanpa apa-apa ucapan dari guru bertugas, tanpa peringatan dari guru disiplin dan tanpa amanat dari barisan pentadbir?

Maka di mana relevannya perhimpunan 10 minit ini? Pada saya, ianya langsung tak relevan. Sangat tidak relevan.

Alasan tak nak jadikan perhimpunan itu membosankan itu bagus. Sepatutnya rancanglah apa aktiviti yang menyeronokkan semasa murid di tapak perhimpunan.

Bukannya memendekkan masa perhimpunan menjadi 10 minit. Itu satu cadangan dan idea yang sangat tidak realistik dan hampir mustahil untuk dilaksanakan.

Saya sangat berharap, pihak IPG dan KPM sendiri meneliti semula cadangan ini dengan cermat.

Kerana berdasarkan bacaan saya, apa yang YB Menteri sebut itu sudah pun menjadi arahan.

Harap YB dapat pertimbangkan usul yang dibawa oleh guru biasa macam saya ini.

Sekian, terima kasih.

*****

Bacaan lanjut berita ini di link berikut :
https://bit.ly/2TGAgsZ



Sebarang komen dan diskusi ilmiah berkaitan dengan bidang pendidikan dialu-alukan diruangan komen ini. Namun jika ada komen berunsur politik, menghina, menyentuh isu tol dan sebagainya, komen itu akan di delete dan pengguna Fb itu akan di block.

Ini bukan artikel politik. Ini artikel pendidikan. Dan artikel ini adalah pandangan saya sebagai guru biasa, tidak mewakili sekolah saya bertugas, tidak juga mewakili daerah mahupun negeri. Harap maklum.
#MFS
– Guru sekolah rendah sahaja –


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top