.... Tuduh Kenaikan Gaji Punca Harga Barang Naik Amat Tak Logik, Khaled Tempelak Mahathir | AAKJ



Kritikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa tindakan kerajaan terdahulu menaikkan gaji kakitangan awam menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup, disanggah oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.

Menyifatkan hujah perdana menteri itu sebagai amat tidak logik, Khaled berkata, Dr Mahathir sepatutnya mengambil kira dengan teliti sebelum membuat penilaian terlalu umum dan bersifat pukul rata.

Antaranya kata Khaled, Dr Mahathir perlu melihat kepada jumlah dan nisbah kakitangan awam dengan penduduk negara ini, dengan membuat perbandingan ketika pentadbiran beliau dahulu dan pada masa kini.

Katanya, situasi pada era Dr Mahathir adalah tidak sama dengan masa kini di mana sumbangan kakitangan awam dalam pengurusan serta pembangunan negara sangat besar.

“Misalnya, pada 2003, dengan populasi kira-kira 25 juta orang, penjawat awam kita ialah kira-kira sejuta orang. Ini bermakna, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:25.

“Kini – pada 2018 – jumlah saiz populasi kita ialah seramai 32.4 juta orang dengan kekuatan penjawat awam seramai 1.62 juta orang. Ini menjadikan nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:20.

“Zaman sudah berubah, populasi kita bertambah, orientasi dan bentuk kerja hari ini juga sudah tidak sama seperti dulu.

“Kita tidak boleh bandingkan semua perkara dengan zaman silam. Seolah-olah sejak 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini tidak ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita.

“Kita perlu bersetuju bahawa sumbangan kakitangan awam dalam pengurusan serta pembangunan negara sangat besar dan penting. Tidak ada kerajaan biar dari mana-mana parti sekalipun yang dapat menafikan perkara ini.

“Jadi, saya bersetuju dengan pandangan yang melihat kenyataan perdana menteri sebagai tidak wajar. Sebaliknya, beliau perlu mengambil pendekatan untuk mengukuhkan keupayaan dan kecekapan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata beliau tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak menaikkan gaji kakitangan awam kerana langkah itu meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan.

Dr Mahathir berkata, Abdullah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2003, dan Najib memburukkan lagi beban itu, dengan menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka.

“Anda naikkan gaji, sektor swasta akan ikut sekali, dan kos semua benda akan naik. Bukan begitu caranya mengurus organisasi,” kata Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif dengan portal berita Free Malaysia Today (FMT).

Mengulas lanjut, Khaled yang juga mantan Menteri Besar Johor menempelak Dr Mahathir yang mengecam kenaikan gaji, walhal beliau yang menerajui Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU14 lalu menjanjikan perkara yang sama dalam manifesto.
“Kalau kita semak semula, salah satu naratif kerajaan semasa kempen PRU ialah gaji kepada tenaga kerja Malaysia yang rendah dan tidak kompetitif.

“Sebab itulah had gaji minimum sebanyak RM1,500 antara perkara utama yang mereka tawarkan sebelum ini, walaupun selepas menang PH hanya menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,050 dan kemudiannya disemak semula kepada RM1,100,” sindir Khaled.

Justeru katanya, jika kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah proaktif dan adil dengan menaikkan gaji perkhidmatan awam, ia merupaka suatu langkah baik yang wajar disokong dan terus ditambah baik, bukannya dipertikaikan tanpa asas yang jelas.

“Lebih penting, tanpa kenaikan gaji sekali pun harga barang akan tetap naik.

“Hujah yang menuduh bahawa kenaikan gaji kaki tangan awam adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang adalah sangat tidak tepat dan tidak logik.

“Ia ibarat satu naratif dan alasan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan semasa akibat kegagalan mereka untuk mengawal harga barang,” sindir Khaled lagi. -SuaraTv

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top